Cari @ Amanz

Demam kriptowang kini sudah semakin susut dengan nilai yang jatuh menjunam jika dibandingkan setahun yang lalu. Tetapi masih ramai yang menaruh harapan nilainya akan kembali melonjak dalam masa terdekat. Proses melombong masih dilakukan tetapi kos tenaga elektrik masih lagi tinggi. Di China seorang guru besar telah dipecat kerana menggunakan bekalan elektrik sekolah untuk melombong kriptowang peribadi.

Lei Hua yang bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah di Hunan memasang lapan pelombong kriptowang di bilik komputer sekolah sejak setahun lalu. Ini mengakibatkan bil elektrik melonjak ke RMB 14,700 (~RM 8837). Guru sekolah telah lama merungut dengan bunyi bising yang didengar siang dan malam serta bil elektrik yang melampau. Ia turut membebankan bebanan melampau ke atas jaringan Internet sekolah.

Apabila aduan dilakukan, Lei Hua menyalahkan pendingin hawa dan alat pemanas yang digunakan di sekolah. Selain beliau, timbalan guru besar juga telah digantung kerana bersubahat di dalam skim melombong kriptowang Ethereum menggunakan bekalan elektrik bangunan kerajaan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd