Cari @ Amanz

Google Pixel adalah telefon pintar Google tersendiri. Generasi pertama iaitu Google Pixel/Pixel XL ia dihasilkan oleh HTC. Kemudian untuk generasi kedua Google Pixel 2/Pixel 2 XL ia dihasilkan oleh LG dan HTC. Untuk yang terbaru iaitu Google Pixel 3/Pixel 3 XL, ia direka oleh Google sendiri dan dihasilkan 100% oleh Google melalui kilang Foxconn. Peranti Pixel ini terkenal kerana ia menggantikan siri Nexus yang menawarkan pengalaman Android yang asli.

Dengan beraninya untuk tahun 2018, Google masih kekal dengan penggunaan RAM 4GB dan kamera utama satu lensa. Mesti ramai tertanya, peranti mercu Android lain sudah pun hadir dengan RAM sehingga 10GB dan lensa kamera utama sehingga 3 lensa. Adakah Google Pixel 3 XL ini boleh menandingi mereka? Setelah beberapa minggu saya menggunakannya, ini adalah ulasan.

Spesifikasi

Google Pixel 3 XL
Skrin 6.3-inci AMOLED
Chipset Qualcomm Snapdragon 845
CPU 4×2.5 GHz Kryo 385 Gold           4×1.6 GHz Kryo 385 Silver
GPU Adreno 630
Memori 4GB RAM
Storan 64GB/128GB
Kamera Utama 12.2MP f/1.8
Kamera Hadapan 8MP f/1.8 lensa lebar                  8MP f/2.2 lensa ultra-lebar
Sambungan Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS, BDS, GALILEO
USB-C 3.1 PD 2.0
Sistem Android 9.0 Pie
Bateri 3430mAh, Power Delivery 18W.        Pengecasan pantas nirwayar 10W
Dimensi 158 x 76.7 x 7.9 mm
Berat & Ketebalan 184g, 7.9mm
Tempoh
Penggunaan
2 minggu

Google Pixel 3 XL menggunakan skrin AMOLED dengan rekaan bertakuk besar. Walaupun kelihatan sedikit janggal, skrin 6.3-inci daripada Samsung ini mnggunakan nisbah 18.5:9 dengan resolusi 1440 x 2960. Paling mengejutkan adalah, skrin Google Pixel 3 XL dinobatkan sebagai skrin terbaik dalam peranti Android oleh DisplayMate.

Agak terkejut apabila DisplayMate menobatkan peranti Pixel 3 XL. Sewaktu DisplayMate mengeluarkan laporan ini, saya masih belum menggunakannya dan sukar untuk mempercayainya. Selepas saya menerima peranti ini dan menggunakannya – cubaan pertama saya adalah membuka Netflix dan YouTube dan cuba memainkan video resolusi tinggi dan juga menstrim kandungan HDR. Saya agak terkejut dengan hasilnya. Ia sangat cantik, warna tajam, butiran yang jelas serta apabila di luar dengan cahaya matahari yang terik – tidak ada masalah untuk melihat skrin Pixel 3 XL ini pada tetapan kecerahan yang tinggi.

Tidak lupa juga, skrin AMOLED pada peranti ini turut membantu dalam penggunaan  fungsi Always-On Display. Butiran jam, tarikh, penggera, muzik dan notifikasi yang dipaparkan adalah cantik, jelas dan warna hitam yang sangat gelap.

Seperti banyak peranti mercu Android tahun 2018, Pixel 3 XL turut dijana dengan cip pemprosessan Snapdragon 845 dengan GPU Adreno 630. Tetapi, yang mengecewakan di sini adalah Google memilih cip Snapdragon 845 yang prestasinya sedikit rendah berbanding pesaing seperti Xiaomi atau OnePlus. Pada OnePlus 6T dan Xiaomi Mi Mix 3 cip Snapdragon 845 yang digunakan adalah lapan teras (4×2.8 GHz Kryo 385 Gold & 4×1.7 GHz Kryo 385 Silver). Manakala pada Pixel 3 XL pula, ia hanya lapan teras (4×2.5 GHz Kryo 385 Gold & 4×1.6 GHz Kryo 385 Silver). Ini bermakna prestasinya secara teorinya dengan RAM yang hanya 4GB untuk kedua-dua variasi, Pixel 3 XL adalah lemah.

Bercakap lagi mengenai memori, storan dalaman Pixel 3 XL hanya terdapat dua pilihan iaitu 64GB atau 128GB. Tiada sokongan kad mikroSD, kerana Google sudah memberi quota tanpa had storan awan untuk Google Photos selama dua tahun. Untuk kamera, Google Pixel 3 XL menggunakan satu lensa 12.2 MP, f/1.8, OIS dan dwi-pixel auto-fokus berfasa pada kamera utama. Untuk kamera swafoto ia menggunakan dwi-lensa dan sensornya adalah 8 MP, f/1.8 dan 8 MP, f/2.2 lensa ultra-lebar.

Bateri yang Google gunakan pada Pixel 3 XL adalah 3430mAh. Ia menggunakan sistem pengecasan pantas Power Delivery 2.0 melalui port USB-C. Kelajuan pengecasan ini pula adalah terhad kepada 18W maksima. Untuk pertama kali, Google menyertakan sokongan pengecasan nirwayar pantas 10W – tetapi ia hanya boleh digunakan dengan Pixel Stand buat masa ini. Untuk perlindungan pula, Google menggunakan Corning Gorilla Glass 5 dan juga kalis air dan debu IP68.

Rekaan

Rekaan Pixel 3 XL sangat mirip dengan Pixel 2 XL. Lebih-lebih lagi pada bahagian belakang dengan rekaan dua tona. Ia juga mempunyai rekaan yang asli dan tidak mempunyai persamaan dengan rekaan peranti lain. Kemasan kaca di bahagian belakang kini lebih kemas, terasa premium dan sangat selesa di dalam genggaman tangan. Sebelum ini, rekaan dua tona adalah daripada bahan yang berbeza – kini Google menggunakan satu bahan yang sama iaitu panel kaca dan hanya menggunakan kemasan yang berbeza bagi membezakan bahagian berkilat dan yang bahagian kesat.

Di hadapan adalah di mana diamnya takuk gergasi. Tetapi jika dibandingkan dengan Pixel 2 XL, saiz takuk ini adalah sama dengan ‘dahi’ Pixel 2 XL. Cuma dengan sisi Pixel 3 XL dan ‘dagu’ yang sedikit nipis – rekaannya dilihat tidak simetri dan menjengkelkan. Tetapi, takuk pada dan ‘dagu’ pada Pixel 3 XL ini mempunyai pembesar suara stereo yang kuat dan lantang. Ia enak didengar dan apabila memainkan muzik dari Spotify, pengalaman pendengaran adalah mengasyikkan.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada aluminium. Kerangka peranti ini juga dibina berasaskan aluminium. Butang kuasa mempunyai warna yang sedikit berbeza. Untuk warna ‘Hitam Je..‘ (Just Black), butang kuasanya mempunyai warna hitam yang sedikit pusam. Tiada apa-apa di bahagian sisi kiri, di atas pula terdapat satu mikrofon dan di bahagian bawah adalah port USB-C dan slot kad sim.

Jika anda baca artikel saya di Amanz sebelum ini, Pixel 3 XL dan Pixel 3 dilaporkan adalah kalis calar berbanding dengan apa yang disangkakan orang ramai. Ya, benar. Tetapi hanya di bahagian dengan kemasan pusam sahaja. Bahagian takuk dan bahagian yang berkilat, ia sangat mudah calar. Jadi penggunaan kerangka pelindung, pelindung skrin atau pelekat vinil adalah pilihan terbaik.

Sistem

Sistem operasi Android pada Pixel 3 XL adalah Android 9.0 Pie. Penggunaan Android Pie pada Pixel 3 XL adalah satu pengalaman yang sangat mengujakan dan seronok. Secara keseluruhan lancar, pantas dan seronok. Fungsi dan ciri pada Android Pie dalam Pixel 3 XL adalah berbeza dengan peranti Android Pie lain seperti OnePlus 6T atau custom ROM Android Pie. Mungkin bagi pengguna biasa, Android asli sememangnya bosan. Tetapi sebagai peminat gajet dan seseorang yang menghargai sesuatu yang asli daripada pengeluar, Android asli adalah terbaik.

Antaramuka yang kemas, mudah digunakan dan penggunaan font Google Sans yang secara peribadinya saya gemari. Kawalan gesture yang pantas, recent apps yang menarik digunakan dengan sokongan salin teks tanpa perlu membuka aplikasi, tetapan yang berwarna warni, sokongan live wallpaper yang unik, sokongan tema gelap yang benar-benar gelap, penggunaan aplikasi Google yang lebih baik serta animasi buka tutup aplikasi yang memuaskan.

Prestasi

Prestasi pula, jika anda perasan tajuk artikel – Pixel 3 XL ini seronok digunakan, tetapi menjengkelkan. Perkara yang menjengkelkan adalah prestasi peranti ini dan juga pepijat dan beberapa masalah yang sehingga kini Google tidak baiki.

Pertama sekali, masalah ‘force stop‘ saya alami pada aplikasi Facebook, GSC, beberapa aplikasi media sosial lain kerap berlaku. Sehari, Facebook sahaja sudah 4-5 kali tutup dengan sendirinya. Aplikasi seperti GSC dan TGV, pembelian tiket kerap tidak berjaya dan ia akan buka-tutup-muat (open-close-load) dengan sendiri beberapa kali.

Walaupun baterinya kurang dari 4000mAh, saya masih mampu capai 7 Jam SOT jika kurang menggunakan sosial media dan banyak menstrim daripada Netflix. Saya berjaya capai SOT ini kerana saya langsung tidak bermain permua.

Masalah pengurusan RAM pula juga mempunyai isu yang serius. Setiap hari, penggunaan RAM peranti ini tidak konsisten. Baik banyak aplikasi dibuka dan dijalankan di latar atau langsung tiada aplikasi dibuka – penggunaan RAM mencatatkan lebih 3GB penggunaan. Baki RAM adalah kurang 900MB. Isu ini membuat saya marah dan terasa ingin membaling peranti ini. Isu lengah masa, grafik bermasalah sehingga beberapa ikon menjadi pixelated dan lain-lain pula berlaku apabila peranti ini panas.

Antutu mencatatkan markah tanda aras hanya sekitar 220K. Ini adalah kerana RAM hanya 4GB dan pemprosesnya pula hanya 2.5GHz dan tidak seperti pesaing lain 2.8GHz.

Kamera

Ya, ini adalah bahagian artikel yang ramai gemari dan nantikan. Ini kerana, tidak dinafikan kamera Google Pixel 3 adalah antara yang terbaik. Tetapi jika terbaik kenapa tidak menerima markah DXO yang tinggi? Ini kerana DXO kini menilai markah tanda aras dengan sekurang-kurangnya dua lensa dan lensa kedua yang penting adalah lensa telefoto.

Kamera Google Pixel 3 XL banyak menggunakan perisian dan kecerdasan buatan dari Google tersendiri. Tanpa kamera Google Pixel 2 pada tahun lepas, trend GCam pasti tidak akan wujud. Kini dengan Pixel 3/Pixel 3 XL – pasti lebih banyak fungsi yang akan hadir.

Dalam Google Pixel 3 XL, fungsi paling menarik bagi saya adalah Top Shot. Kemudian untuk bersuka-ria, saya gemarkan fungsi Playground dan Photobooth. Tidak lupa juga, fungsi yang paling kerap saya gunakan adalah mod potret. Baik kamera swafoto atau kamera utama – mod potret Pixel 3 XL adalah antara yang terbaik.

Pasti anda tertanya, bagaimana dengan fungsi Night Sight? Fungsi ini sehingga hari ini masih belum dimasukkan dalam aplikasi kamera Google. Tetapi, beberapa pembangun di luar sana berjaya mengaktifkannya dengan sedikit perubahan kod yang sudah pun terbina dalam aplikasi Google Camera. Kamera swafoto pula, secara teorinya akan menjadi lebih baik kerana penggunaan dwi-lensa. Saya gemar menggunakan mod ultra lebar. Fungsi zoom pula, Google hanya menggunakan kecerdasan buatan untuk menjelaskan butiran gambar.

Fungsi Tambahan

Fungsi tambahan yang akan saya tekankan di sini adalah penggunaan pengecasan nirwayar. Pixel 3 XL menyokong pengecasan pantas nirwayar sehingga 10W. Untuk menikmati pengecasan pantas nirwayar pada Pixel 3 XL ini ia hanya menyokong pengecas nirwayar Pixel Stand.

Pixel Stand ini bukan sahaja mengecas Pixel 3 XL secara pantas tetapi juga turut memberi fungsi tambahan yang menggunakan Google Assistant dan juga Google Photos. Apabila Pixel 3 XL diletakkan pada Pixel Stand, ia akan terus berubah menjadi satu peranti berhubung seakan Google Home Hub. Paparannya pula adalah mod Always-on Display.

Apabila Pixel 3 XL dicas menggunakan Pixel Stand, bukan sahaja Google Assistant mudah untuk digunakan – tetapi Live Photos akan dipaparkan mengikut album yang ditetapkan. Selain itu, Sunrise Alarm juga boleh membantu pengguna bangun tidur dengan mudah – kerana ia akan menerangkan kecerahan skrin secara perlahan dari tahap 0% sehingga 100% dalam masa 15 minit. Untuk privasi, apabila Pixel Stand digunakan – notifikasi semua akan dimatikan dan mod Do Not Disturb akan diaktifkan.

Kesimpulan

Sejujurnya, Google sepatutnya menggunakan RAM yang lebih tinggi dan menawarkan pilihan storan 128GB dan ke atas. Ini hanya pendapat peribadi dan berdasarkan pengalaman penggunaan saya. Mungkin saya berasa pelik dan tidak puas kerana sudah kerap menggunakan peranti Android dengan RAM yang lebih dari 4GB dan juga sudah biasa menggunakan sistem iOS yang kurang isunya.

Secara keseluruhan, saya amat gemar menggunakan peranti ini kerana pengalaman penggunaan sistem Android asli dan juga kamera yang sangat memuaskan. Tetapi, yang saya tidak puas dan perkara yang menjengkelkan adalah – ini adalah peranti daripada Google dan masalah pengurusan RAM, Google masih tidak membaikinya. Kemudian, masalah force stop yang kerap juga buat saya rasa kecewa dengan peranti ini.

Apa yang saya inginkan, jika diberi peluang – saya inginkan Google Pixel 3 XL tanpa takuk serta mempunyai jumlah RAM sekurang-kurangnya 6GB serta tiada masalah pengurusan RAM dan juga masalah force stop.

Google Pixel 3 XL dijual pada harga $899 untuk variasi 64GB iaitu sekitar RM3766 (penukaran mata wang secara terus). Jika dicampur dengan duit penghantaran dari Amerika Syarikat ke Malaysia berserta kastam dan kos lain-lain harganya boleh mencecah RM4000. Beberapa penjual di Malaysia dilihat sudah mula menjual pada harga sehingga RM4599 untuk variasi 64GB. Melalui skor yang akan saya sediakan serta jadual pro dan kontra di bawah – saya pasti pembaca Amanz boleh membuat pilihan bijak.

PRO KONTRA
  • Pengalaman Android asli terbaik.
  • Kualiti kamera yang mengagumkan.
  • Skrin yang sangat cantik.
  • Pembesar suara stereo yang mengasyikkan.
  • Kemaskini sistem operasi dan tampalan sekuriti yang pantas.
  • Pemproses Snapdragon 845 yang hanya 2.5GHz tidak seperti pesaing 2.8GHz.
  • RAM hanya 4GB.
  • Pepijat yang lambat untuk dibaiki.
  • Pengurusan RAM yang teruk.
  • Panel kaca yang mudah calar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd