Carian
Alibaba Mencatatkan Rekod Jualan Melangkaui RM128 Bilion Di Seluruh Dunia Sempena 11.11
November 12, 2018 Nazrin

11 November merupakan Hari Teruna (Singles Day) di China, yang juga merupakan hari dimana pelbagai platform jual-beli atas talian, khususnya syarikat-syarikat dibawah naungan Alibaba akan membuka jualan dengan diskaun-diskaun yang cukup besar untuk satu hari sahaja.

Jualan 11.11 Alibaba kini sudah memasuki tahun kesepuluh, dan pada tahun ini, syarikat tersebut telah mencatatkan rekod jualan sebanyak $30.8 bilion (RM128,9 bilion) pada hari tersebut.

Apa yang lebih menarik lagi ialah Alibaba menyatakan bahawa mereka telah melangkaui jumlah jualan pada tahun 2017, sebanyak $25 bilion dalam masa 15 jam selepas jualan tahun ini bermula.

Walaupun begitu, Alibaba dikatakan mencatatkan peratusan peningkatan jualan yang terendah setakat ini pada 27 peratus berbanding dengan 36 peratus pada tahun lalu. Akan tetapi ini bukanlah sesuatu yang akan menjadi masalah buat Alibaba kerana betapa besarnya jualan pada tahun ini.

Lazada, sebuah syarikat dibawah naungan Alibaba turut mencatatkan jumlah jualan yang agak mengagumkan, dengan penjualan 27 tan Milo dalam dua jam pertama dan juga jualan 11 buah kereta Volkswagen Polo di dalam masa satu minit sahaja.

Komen