Boost merupakan salah satu aplikasi dompet digital yang memfokuskan kepada usaha memudahkan transaksi nirtunai. Terkini, Boost mengumumkan kerjasama dengan sejumlah penyedia perkhidmatan pengangkutan awam, sekaligus membolehkan pengguna Boost turut menggunakannya dalam melakukan pembayaran nirtunai untuk pengangkutan awam.
Buat masa ini, sebagai fasa pengenalan, Boost telah mengumumkan kerjasama dengan beberapa pihak, termasuk KLIA Ekspress, KTM, EzCab, CatchThatBus, dan juga CityCarPark. Langkah ini juga membolehkan Boost menjadikan pengangkutan awam lebih mudah secara nirtunai, selamat dan mudah diuruskan menerusi satu dompet tunggal sahaja.
Kerjasama ini bertujuan untuk mengubah dan pada masa yang sama meningkatkan industri pengangkutan awam. Selain itu, secara tidak langsung, ia juga memperluaskan ekosistem nirtunai di Malaysia. Integrasi antara rakan kongsi ini membolehkan Boost menjadi satu-satunya titik pemulaan untuk pelanggan merancang semua perjalanan domestik dan tempat letak kereta dengan mudah dan selamat melalui dompet digital mereka.
Hasil kerjasama ini, Boost akan memudahkan sejumlah perkara, termasuk:
- Membeli tiket KLIA Ekspress
- Membeli tiket keratapi KTM Antara Bandar
- Membeli tiket bas daripada CatchThatBus
- Membayar tempat letak kereta di kawasan yang diuruskan oleh CityCarPark
Boost kini mempunyai seramai 3.2 juta pengguna dan hampir 50,000 peniaga seluruh negara yang menerima bayaran melaluinya. Sebagai aplikasi gaya hidup, pengguna Boost boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan, seperti membeli tambah-nilai prabayar dan baucar digital. Pengguna juga dapat menikmati bayaran bil-bil utiliti dan diberi ganjaran wang tunai segera melalui ciri “Shake”.