Carian
KWAP Mengemaskini Aplikasi MyPesara – Kini Lebih Ringkas Dan Kemas, Menambah Beberapa Ciri Bar
November 13, 2018 Syafia Hani

Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) merupakan satu badan yang menguruskan dana yang disimpan oleh penjawat awam sewaktu mereka bekerja dan menjanjikan untuk mendapat wang pulangan optimum melalui aktiviti pelaburan seseorang individu tersebut setelah mereka bersara.

Hasil kerjasama mereka dengan Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), KWAP telah hadir dengan aplikasi mereka yang tersendiri iaitu aplikasi MyPesara. Aplikasi ini sudahpun dilancarkan pada tahun 2017 yang lalu. Dengan adanya aplikasi ini, ia sekaligus memudahkan pesara Kerajaan Malaysia mengemaskini data mereka dan melihat maklumat berkenaan bayaran pencen yang diterima setiap bulan.

Hari ini KWAP telah mengumumkan kemaskini untuk aplikasi MyPesara mereka. Versi sebelum kemaskini aplikasi MyPesara ini hadir dengan enam antaramuka berbeza. Antaranya adalah antaramuka yang membolehkan anda mengetahui tentang maklumat persaraan anda, semakan status permohonan persaraan, informasi berkenaan persaraan dan tips kewangan, pelbagai jenis panduan dan antaramuka untuk pengumuman.

Tetapi hari ini, dengan kemaskini yang dibuat, aplikasi MyPesara kini telah hadir dengan antaramuka yang lebih ringkas dan kemas. Aplikasi ini hadir dengan beberapa fungsi baru. Antaranya adalah butang SOS yang membolehkan pengguna untuk memberi amaran kecemasan kepada penjaga sekiranya berlaku kecemasan. Butang kecemasan ini juga boleh bertindak secara dua hala dimana penjaga juga boleh melihat lokasi semasa pengguna.

Aplikasi ini juga hadir dengan fungsi e-card mereka sendiri yang mana fungsi ini memudahkan pengguna untuk memegang kad pesara secara maya dan kad ini boleh digunakan untuk membuat pelbagai transaksi dan menerima harga promosi. Antara yang menyokong transaksi menggunakan e-card ini adalah AKPK, Alpro Pharmacy, CELCOM, Domino’s Pizza, Grab Malaysia, Hire.Seniors, KPJ Healthcare, KPJ healthshoppe, KPJ Sentosa, Mydin, Mynews.com, dan Institut Jantung Negara (IJN). KWAP juga turut menyasarkan bahawa mereka akan memperluaskan lagi rakan kongsi  yang akan menyokong pembayaran menggunakan fungsi e-card ini.

Selain itu, MyPesara juga turut menambah ciri rekod kesihatan, kupon dan diskaun untuk warga emas, serta fungsi dalam aplikasi seperti kalkulator kewangan, penjejak perbelanjaan, dan banyak lagi.

Pada 24 November 2018, KWAP akan mengadakan Karnival Rasa Sayang di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh yang ditujukan khas untuk golongan pesara. Pada acara ini, pihak mereka akan memberi pelbagai informasi berkenaan kestabilan kewangan seseorang pesara, status psikologi dan kesihatan. Pihak mereka juga akan memperkenalkan aplikasi MyPesara ini secara meluas kepada orang ramai yang menyertai karnival ini.

Aplikasi ini sesuai dan digalakkan untuk dimuat turun oleh para pesara kerajaan dan penjawat awam mahupun swasta. Dengan adanya aplikasi ini, ia sekaligus memudahkan anda untuk menguruskan hal persaraan dengan lebih mudah dan efisyen. Kemaskini aplikasi MyPesara ini boleh dimuat turun oleh semua pengguna, samaada pengguna Android mahupun iOS bermula 22 November ini.

Komen