Shopback merupakan salah satu perkhidmatan yang memfokuskan kepada penawaran wang kembali ke atas setiap pembelian melalui sejumlah laman e-dagang dan beberapa perkhidmatan. Terkini, lanjutan daripada jualan 11.11, mereka berkongsi beberapa data menarik berkenaan pengguna mereka pada jualan berkenaan.
Menurut Shopback, secara purata, pengguna mereka di Malaysia membelanjakan sekitar RM441 – memperlihatkan peningkatan sehingga 4 kali ganda berbanding tahun lepas yang menyaksikan perbelanjaan purata sekitar RM101.
Shopback juga mengatakan pengguna aktif berbelanja pada dua jam pertama, iaitu antara 12 tengah malam sehingga 2 pagi. Pada masa yang sama, jam terakhir antara 11 malam ke 12 tengah malam juga adalah waktu popular untuk pengguna tempatan membeli barangan melalui Lazada, Shopee, dan Taobao.
Shopback mengatakan mereka mempunyai lebih 1 juta pengguna dari Malaysia, dan secara kasar, pengguna tempatan telah membelanjakan sekitar RM11 juta di platform kerjasama Shopback.
Bagi anda sendiri, berapakah yang anda belanjakan pada jualan 11.11 semalam?