AMD baru-baru ini menyatakan bahawa mereka akan melancarkan kad grafik AMD Radeon RX 590, berdasarkan kad grafik Radeon RX 580 yang diperbaiki kebolehan grafik dan memorinya, dan kini, Sapphire, syarikat pembina kad grafik AMD telah memperlihatkan variasi premium kad grafik tersebut yang dinamakan Sapphire Radeon RX 590 NITRO+ Special Edition.
Melalui risalah digital yang tertiris oleh Sapphire, butiran khusus kad grafik AMD Radeon RX 590, yang termasuklah penggunaan 2304 pemproses strim, memori GDDR5 sebanyak 8GB yang sama seperti kad grafik sebelum ini. Satu-satunya perbezaan ini ialah cip pemprosesan grafik yang digunakan dibina menggunakan proses 12nm yang mempercekapkan lagi penggunaan kuasa dan prestasi cip tersebut.
Dari segi I/O pula, kad grafik ini dikuasakan oleh satu palam enam-pin dan satu palam lapan-pin PCIe, dan dari segi output video pula, ia hadir dengan dua palam HDMI, dua palam DisplayPort dan satu palam DVI-D.
Dalam pada itu, rekaan kad grafik Sapphire ini hadir dengan beberapa ciri yang menarik, seperti dua profil kelajuan grafik yang dinamakan Nitro Boost+ dan Silent Mode, dua kipas penyejuk GPU yang boleh ditanggalkan, Bagi mereka yang gemar menggunakan teknologi pencahayaan RGB di dalam komputer, kad grafik ini juga hadir dengan teknologi pencahayaan Nitro Glow.
Buat masa ini, tarikh dan harga jualan kad grafik ini masih belum diumumkan lagi.