Huawei Mate 20 Pro adalah telefon pintar pertama yang menyokong pengecasan nirwayar dua-hala. Jadi, pengguna boleh mengecas Pixel 3 XL, siri iPhone 8/X atau mana-mana peranti yang menyokong pengecasan nirwayar berasaskan Qi dengan meletakkan peranti mereka atas panel belakang Huawei Mate 20 Pro.
Tetapi, masalah dengan fungsi ini adalah – pengguna perlu mengaktifkannya terlebih dahulu melalui tetapan dan perlu dengan segera mengecas peranti lain atas Mate 20 Pro. Kenapa? Kerana jika dalam masa beberapa saat, tiada peranti yang dicas – fungsi ini akan ditutup serta-merta bagi menjimat penggunaan bateri.
Kemudian, perkara yang lebih menjengkelkan adalah – kuasa pengecasan nirwayar Mate 20 Pro ini hanyalah 2.5W. Jadi jika pengguna memiliki iPhone X, Samsung Galaxy Note 9 atau Pixel 3 – pengecasan nirwayarnya adalah sangat perlahan dan sangat tidak praktikal. Lebih-lebih lagi Pixel 3 XL yang mempunyai masalah kepanasan apabila dicas secara nirwayar. Perkara ini disedari oleh Android Authority dan saya turut mencubanya dan ianya benar. Pixel 3 XL saya dicas dengan sangat perlahan. Kadar pengecasannya juga tidak konsisten, dalam percubaan saya – saya hanya mampu mengecas dari 100mA-300mA sahaja.
Tetapi, sasaran asal Huawei adalah untuk mengecas Freebuds 2 Pro – iaitu set fon telinga benar-benar nirwayar Huawei. Ia hanya mempunyai bateri yang kecil, jadi secara teorinya – mungkin kadar pengecasannya adalah pantas.