Microsoft Mula Menawarkan Kembali Kemaskini Windows 10 October 2018

Microsoft Mula Menawarkan Kembali Kemaskini Windows 10 October 2018

Diterbitkan pada November 14, 2018 oleh .

Microsoft sebelum ini telah menawarkan kemaskini Windows 10 terbaru, iaitu Windows 10 October 2018 pada bulan lepas. Walaubagaimanapun, pengguna melaporkan mereka menghadapi masalah dimana beberapa fail dan dokumen mereka hilang – membuatkan pihak Microsoft menghentikan kemaskini berkenaan.

Hari ini, syarikat perkomputeran berkenaan mula menawarkan kembali kemaskini Windows 10 October 2018 untuk para pengguna sistem operasi Windows 10 seluruh dunia – sekaligus mengatasi masalah yang telah dilaporkan sebelum ini.

Microsoft menekankan yang mana mereka akan lebih memfokuskan kepada kualiti – selain menggunakan pelbagai data yang dihimpunkan dalam mengemaskini sesuatu peranti dan memberikan pengalaman terbaik. Kemaskini akan ditawarkan secara berperingkat kepada semua – bermula dengan peranti-peranti yang memperlihatkan penawaran pengalaman yang baik selepas kemaskini, dan diikuti peranti lain. Sekiranya sistem pembelajaran mesin Microsoft mendapati masalah untuk sesuatu peranti, maka ia akan menghentikan penawaran untuk peranti berkenaan sehingga masalah berkenaan diatasi.

Dengan langkah ini, Microsoft memberikan lebih keyakinan kepada pengguna supaya masalah seperti fail dan dokumen yang hilang tidak berulang lagi selepas ini.



TIPS & ULASAN