Umum diketahui 1 kilogram adalah bersamaan dengan 1000 gram. Tetapi tahukah anda sebuah bongkah aloi platinum-iridium telah digunakan sebagai berat piawaian SI (Système international ) untuk 1 kilogram sejak 1879. Bongkah yang diberi nama gelaran International Prototype of the Kilogram (IPK) atau Le Grand K disimpan rapi di International Bureau of Weights and Measures. Sebanyak 40 bongkah pendua dihasilkan bagi membolehkan peralatan penimbang ditentukur dengan tepat di seluruh dunia.
Hujung minggu ini berat piawaian 1 kilogram ini akan digantikan dengan nilai yang baru. Ini adalah kerana IPK telah mengumpul debu dan kotoran sejak 139 tahun. Malahan 40 bongkah pendua yang dihasilkan juga tidak lagi tepat kerana mengumpul debu dan kotoran pada kadar berbeza. Selepas ini nilai 1 kilogram akan diukur menggunakan pemalar Planck. Nilai diukur menggunakan jumlah tenaga yang diperlukan untuk mengimbangi 1 kg di atas neraca Kibble menggunakan daya elektromagnet.
Selain kilogram, nilai piawai SI untuk Ampere, Kelvin dam Mol turut akan dinilai semula. Ampere akan menggunakan jumlah caj elektron, Kelvin menggunakan nilai pemalar Boltzman dan Mol pula menggunakan pemalar Avogadro. Sekiranya dipersetujui oleh ahli saintis, nilai piawaian baru keempat-empat unit SI akan berkuatkuasa mulai 20 Mei 2019.