Essential Mula Menjual ‘Audio Adapter HD’ – Penyesuai Bicu Audio Berharga Lebih Dari RM600

Essential Mula Menjual ‘Audio Adapter HD’ – Penyesuai Bicu Audio Berharga Lebih Dari RM600

Diterbitkan pada November 14, 2018 oleh .

Essential Phone PH-1 adalah telefon pintar Android pertama dengan takuk. Ia juga hadir dengan rekaan nirbingkai, cuma mempunyai ‘dagu’ yang sedikit tebal. Peranti ini dibina daripada bahan gabungan seramik dan titanium. Seperti banyak peranti lain, Essential PH-1 turut tidak mempunyai port bicu audio 3.5mm.

Tetapi, selepas setahun peranti ini dilancarkan – Essential mula memperlihatkan aksesori modular bermagnet yang mengembalikan sokongan bicu audio 3.5mm. Hari ini, Essential mula menjual aksesori ini. Aksesori yang diberi nama ‘Audio Adapter HD‘ ini dijual pada harga $149 (~RM625). Mengejutkan, aksesori yang dijual pada harga mahal ini habis dijual pada hari yang sama ia diumumkan.

Jika anda tertanya kenapa sebuah penyesuai bicu audio berharga lebih dari RM600? Ini kerana Audio Adapter HD dibina dari titanium, hadir dengan ESS Sabre DAC (ES9281Pro) yang menyokong MQA, memberi 16/24/32 bit main semula dan juga mempunyai kadar persampelan yang tinggi 44.1, 48, 96, 192MQA, 384 kHzMQA. Penyesuai ini juga mempunyai perlindungan kalis air dan debu IP55.

Adakah anda pengguna Essential PH-1 dan jika ya, adakah anda salah seorang daripada pembeli Audio Adapter HD? Pendapat saya, untuk peranti yang sudah lebih setahun umurnya – aksesori seperti ini bagi saya tidak berbaloi. Kecuali anda memang seorang audiophile.


TIPS & ULASAN