Ingat lagi atau tidak? Awal tahun ini, iaitu bulan Mac – Xiaomi telah melancarkan tempat duduk tandas pintar mereka ‘Xiaomi Smartmi Small Smart Toilet Seat‘. Hari ini, melalui laman biayasama Youpin – Xiaomi mengemaskini tempat duduk tandas pintar mereka dengan kecerdasan buatan.
‘Xiaomi Smart Toilet Cover AI Version‘ adalah versi kemaskini kepada tempat duduk tandas pintar mereka. Tempat duduk ini hadir dengan pembantu maya Xiaomi Xiao AI secara terbina. Kehadiran Xiao AI ini akan membantu pengguna untuk menyiram jamban atau memanaskan tempat duduk melalui arahan suara. Ia juga boleh diselarikan dengan aplikasi Mijia sebagai salah satu gajet rumah pintar.
Lebih menarik, ia boleh mengesan individu berbeza berdasarkan peranti Xiaomi yang dipegang atau Mi Band yang dipakai untuk tetapan yang berbeza. Tetapan yang dimaksudkan adalah posisi membasuh, suhu air serta keamatan aliran air.
Xiaomi Smart Toilet Cover AI Version sudah boleh dipra-tempah pada harga RMB1299 (~RM784) dan sedia dihantar kepada pengguna di China bermula 26 Disember kelak.