Cari @ Amanz

Intel ialah sebuah syarikat yang terkenal untuk pembuatan cip untuk komputer, mesin pelayan dan pelbagai jenis peranti. Akan tetapi, mereka juga membina perkakasan yang membolehkan sesiapa sahaja membina peranti yang menggunakan kecerdasan buatan.

Intel bakal melancarkan perkakasan Intel Neural Compute Stick 2, iaitu sebuah perkakasan yang akan memudahkan pembina dan pembangun untuk membina peranti-peranti yang memerlukan sebuah platform kecerdasan buatan yang mudah diprogram.

Rekaan perkakasan Neural Compute Stick 2 ini adalah seakan-akan sama seperti peranti Intel Compute Stick, iaitu komputer yang hadir di dalam rekaan sebuah thumbdrive. Perbezaan di sini ialah Neural Compute Stick 2 ini boleh digunakan untuk memindahkan proses kecerdasan buatan daripada cip pemprosesan utama sesebuah peranti kepada cip kecerdasan buatan Movidius Myriad X yang terkandung di dalam peranti ini.

Dengan Neural Compute Stick ini, pembina yang ingin membina peranti-peranti seperti robot pintar, sistem pengawalan kendiri dan sebagainya tanpa perlu membina sistem kecerdasan buatan mereka sendiri. Mereka hanya perlu mengaturcara menggunakan kod yang sedia ada.

Intel telahpun mula menghantar sampel Neural Compute Stick 2 ini kepada beberapa pembina yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan ini, seperti Clean Water AI yang menggunakan kecerdasan buatan untuk mengesan bakteria di dalam air dan Doctor Hazel, sebuah sistem pengesan yang mengesan sel kanser kulit menggunakan kecerdasan buatan.

Perkakasan Intel Neural Compute Stick 2 ini boleh dibeli oleh sesiapa sahaja melalui Intel untuk $100 (~RM400) sebatang, dan sangat berguna untuk mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang pengaturcaraan kecerdasan buatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd