Cari @ Amanz

Sebelum ini, kita telah melihat beberapa syarikat menyertai perlumbaan dalam penawaran kaca mata pintar AR (Augmented Reality) – yang mana menawarkan pengalaman realiti-gabungan antara dunia-nyata dan paparan info secara maya. Antara yang telah mengumumkan perancangan mereka adalah Facebook, selain ia turut dilaporkan Apple turut melihat ke arena sama.

Terkini, Huawei turut mengatakan mereka sedang membangunkan kaca mata realiti-gabungan mereka tersendiri yang mungkin diperkenalkan dalam masa setahun dua lagi.

Melalui Mate 20 sendiri, Huawei telah mula menekankan penawaran ciri berkenaan. Bercakap mengenainya, CEO Huawei CBG mengatakan mereka akan menawarkan sejumlah ciri-ciri realiti-gabungan pada telefon pintar terlebih dahulu bagi memudahkan pengguna membiasakan diri – sebelum kaca mata pintar ini diperkenalkan.

Sebelum ini, Google telah menjadi antara yang terawal hadir dengan kaca mata pintar AR, Google Glass. Walaubagaimanapun, ia boleh dikatakan terlalu awal ketika itu. Kini, dengan arena realiti-maya yang tidak begitu mendapat perhatian, pelbagai syarikat mula memfokuskan kepada arena realiti-gabungan. Populariti permainan seperti Pokemon Go yang menggunakan teknologi realiti-gabungan juga dilihat menunjukkan pengguna meminati penawaran kandungan seumpamanya.

Dengan pengumuman daripada Huawei ini, kita mungkin turut melihat beberapa syarikat lain turut melakukan perkara sama dalam masa terdekat ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd