Tahun lalu model prototaip motosikal elektrik Vespa Elettrica diperlihatkan dengan sasaran mula dipasarkan tahun ini. Ia kemudian boleh dipratempah pengguna Eropah sejak bulan Ogos yang lalu. Di acara EICMA yang baru berlangsung, pihak Piaggo mengesahkan Vespa Elettrica akan memasuki pasaran Asia dan Amerika Syarikat bermula 2019.
Vespa Elettrica mengekalkan rekaan klasik Vespa yang telah digunakan sejak 1946. Perbezaannya Elettrica dilengkapi motor elektrik 2 kW yang memberikan prestasi setanding dengan enjin 50cc konvensional. Bateri 4.2 kW/h yang disertakan memberikan jarak operasi sehingga 97 kilometer dengan sekali caj. Tempoh mengecas semula bateri adalah sekitar empat jam.
Di Eropah Elettrica dijual pada harga bermula €6,390 (~RM 30341) sebuah. Ini ialah harga yang amat mahal bagi sebuah skuter tetapi anda perlu membayar premium untuk kenderaan yang tidak mencemari alam sekitar.