Cari @ Amanz

Di acara IFA di Berlin beberapa bulan yang lalu, Acer telah memperkenalkan kubu gaming mereka yang dinamakan Acer Predator Thronos yang hadir bersama-sama dengan komputer Acer Predator Orion dan mampu menyokong sehingga tiga paparan skrin bersaiz 27 inci untuk pengalaman gaming yang sangat mendalam.

Acer Malaysia kini sedang memperlihatkan kubu gaming tersebut di acara KL Major yang sedang berlangsung pada minggu ini, dan turut mengumumkan bahawa golongan gamer bangsawan di Malaysia sudahpun boleh mula memesan kubu gaming ini.

Acer Predator Thronos ini dilengkapi dengan takhta gaming yang terdiri daripada kerusi gaming Tt Esports versi Predator yang boleh diangkat dan dicondongkan sebanyak 45 darjah di dalam posisi “zero gravity”, subwoofer bergetar di belakang kerusi tersebut dan juga tempat letak papan kekunci Acer Predator Aethon 500 dan tetikus Acer Predator Cestus 510, dimana Acer berkata akan tiba di dalam pakej Predator Thronos ini.

Menguasakan kubu ini ialah komputer desktop Acer Predator Orion 9000 yang dilengkapi dengan CPU Intel Core i7 generasi kelapan, RAM DDR4 sebanyak 16GB, dan gabungan storan SSD 256GB dan cakera keras 2TB. Dari segi grafik pula, komputer ini dilengkapi dengan dua kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1080 Ti untuk menyokong tiga buah paparan 27 inci Acer Predator XB271HU yang hadir dengan sokongan NVIDIA GSYNC dan kadar segar semula selaju 165Hz.

Jika anda mahu, anda juga boleh menggantikan kad grafik GTX 1080 Ti tersebut untuk kad grafik RTX 2080 ataupun RTX 2080 Ti dengan caj tambahan.

Satu set kubu gaming Acer Predator Thronos ini akan memakan belanja sebanyak RM56999, dan ialah satu ekosistem gaming yang lengkap dan sangat berkuasa. Jika anda berminat untuk membeli sistem Thronos ini, anda boleh menghantar emel kepada ama.marcom[at]acer.com untuk penerangan mengenai proses pembelian.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd