Cari @ Amanz

Matahari Buatan China Berjaya Mencatatkan Suhu Enam Kali Ganda Matahari Sebenar

Link Copied!

China ialah kilang dunia dan kerap kali produk yang dikeluarkan hari ini akan kemudian muncul dalam versi lebih mampu milik selepas diciplak. Antara produk ciplak yang pernah tular ialah telur, iPhone dan kereta mewah. Tetapi kemampuan menghasilkan produk “tiruan” kini membuka langkah kepada penghasilan sumber tenaga lestari untuk generasi akan datang.

Experimental Advanced Superconducting Tokamak (EAST) ialah mahatari buatan manusia yang terletak di Hefei Institutes of Physical Science of the Chinese Academy of Sciences (CASHIPS). Suhu mencecah 100 juta Celsius berjaya dicatatkan di dalam teras plasma EAST pada hari Selasa yang lalu. Ini adalah bersamaan dengan enam kali ganda suhu di permukaan matahari sebenar.

Dengan suhu yang dicatatkan ini, proses menghasilkan sumber tenaga bersih menerusi proses pelakuran nuklear dapat dilakukan. Berbeza dengan proses pembelahan nuklear yang digunakan di stesen janakuasa semasa, proses pelakuran tidak meninggalkan sisa nuklear yang berbahaya.

Sebaliknya apabila isotop deuterium dan tritium digabungkan menerusi proses pelakuran, hanya helium dan neutron akan dihasilkan. Pada masa yang sama, tenaga yang dilepaskan menerusi proses pelakuran adalah sehingga empat kali ganda lebih besar berbanding proses pembelahan nuklear.

Sumber tenaga dari proses pelakuran nuklear dipercayai dapat menyelesaikan masalah kuasa dunia yang kini 80% dijana menggunakan bahan api fosil yang semakin berkurangan serta menghasilkan pencemaran. Isotop deuterium dan tritium terdapat dalam jumlah yang lebih besar serta selamat berbanding uranium dan plutonium.


Komen ()