Pandang Pertama: Honor Magic 2 – Sebuah Peranti Honor Yang Menjalankan MagicUI 2.0

Pandang Pertama: Honor Magic 2 – Sebuah Peranti Honor Yang Menjalankan MagicUI 2.0

Diterbitkan pada November 15, 2018 oleh .

Pada tahun 2016 Honor telah memperkenalkan Honor Magic. Ia adalah telefon pintar dengan rekaan futuristik dan hadir dengan skrin melengkung. Honor melancarkan peranti ini sebagai peranti konsep, seperti mana Xiaomi dengan Mi Mix pertama.

Sayang sekali, Honor Magic ini tidak dijual di peringkat global kerana sistem operasinya dibina hanya untuk negara China. Sistem operasi pada ketika itu adalah Honor Magic Live yang berasaskan Android 6.0 Marshmallow. Kini, Android sudah semakin baik dan banyak perkara Honor sudah belajar – Honor Magic 2 diperkenalkan. Bagi mereka yang minat dengan peranti ini, ada kemungkinan ia akan hadir secara global. Jadi adakah ia menarik digunakan? Ini adalah pandang pertama.

Spesifikasi

Honor Magic 2
Skrin 6.39″ FHD+ AMOLED
Pemproses Kirin 980
Cip Lapan Teras
2×2.6 GHz Cortex-A76                         2×1.92 GHz Cortex-A76                         4×1.8 GHz Cortex-A55
Cip Grafik Mali-G76 MP10
RAM 6/8 Gigabyte
Muatan Dalaman 128/256 Gigabyte
Kamera Utama 16+16 Megapixel.
24 Megapixel
Kamera Depan 16+2 Megapixel
Bateri 3400 mAh
(Pengecasan pantas 40W)
SIM/Telefoni Dwi-Sim Hibrid
NFC Ya
Infra Merah Ya
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Dalam Skrin, Wajah
Harga Jualan Tidak Diketahui

Honor Magic 2 menggunakan panel AMOLED 6.39-inci, resolusi 1080 x 2340 FHD+. Ia hadir dengan rekaan nirbingkai, cuma sayangnya – ‘dagu’ peranti ini sedikit tebal.

Menarik dengan peranti ini, ia tidak mempunyai sebarang takuk. Ia menggunakan rekaan boleh luncur dan menyembunyikan kamera swafoto dan sensor-sensor di bahagian panel boleh luncur ini. Untuk mengaksesnya, pengguna perlu meluncurkan panel skrin ke bawah.

Mengejutkan, warna skrinnya cukup terang dan pandangan dari setiap sudut juga agak menarik. Skrin AMOLED pada Honor Magic 2 ini menyokong DCI-P3 100% dan HDR. Mengecewakan, peranti ini tidak mempunyai sokongan Widevine L1 dan hanya mempunyai tahap L3. Jadi, walaupun mempunyai skrin yang cantik – Netflix tidak boleh distrim pada resolusi HD dengan peranti ini.

Honor Magic 2 dalam artikel ini menggunakan ROM negara China. Jadi versi global nanti, pasti akan ada perubahan.

Honor Magic 2 dijana dengan cip Kirin 980 iaitu cip peranti mercu Huawei terbaru dengan rekaan 7nm. Kemudian, ia dipadankan dengan memori dan storan 6GB/128GB, 8GB/128GB atau 8GB/256GB. Cip Kirin 980 ini juga mempunyai sokongan kecerdasan buatan, oleh itu dalam Honor Magic 2 ini terdapat pembantu maya bernama Yoyo yang sedia membantu. Tetapi, Yoyo hanya hadir dalam sistem operasi versi China dan versi global nanti ia mungkin akan dibuang dan digantikan dengan Google Assistant.

Untuk kamera utama, Honor Magic 2 menggunakan tri-lensa 16+16 megapixel lensa biasa dan 24 megapixel lensa ultra-lebar. Kamera swafoto pula menggunakan dwi-lensa 16 megapixel dan 2 megapixel. Bateri pada peranti ini menggunakan kapasiti 3400mAh. Ia turut menyokong pengecasan pantas 40W yang boleh mengecas peranti dari 0%-50% dalam masa 15 minit sahaja.

Rekabentuk

Satu jelingan yang tajam, Honor Magic 2 ini kelihatan seperti Huawei P20 Pro – lebih-lebih lagi pada rekaan panel belakangnya. Terdapat empat warna sewaktu peranti ini dilancarkan, iaitu merah, biru, perak dan cerun hitam. Untuk pandang pertama ini, kami terima warna cerun hitam. Warna ini nampak elegan, kemas dan juga profesional.

Secara keseluruhan, peranti ini agak nipis walaupun mempunyai dua panel berbeza. Apabila kamera hadapannya ingin dibuka – sistem luncurnya agak pantas dan efisyen. Cuma berbeza dengan pengeluar lain, Honor Magic 2 tidak akan membuka aplikasi kamera secara automatik apabila kamera diluncurkan.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada aluminium. Kerangka peranti ini juga dibina berasaskan aluminium. Tetapi, menjadikannya premium adalah gabungan penggunaan kaca dan aluminium. Kemasan aluminiumnya juga kelihatan seakan kaca dan menjadikan rekaan peranti ini seakan diperbuat dari bahan yang sama. Sisi kiri terdapat slot simkad dan juga kad mikroSD. Terdapat sensor IR dan mikrofon di bahagian atas dan di bahagian bawah adalah port USB-C, mikrofon dan juga pembesar suara mono.

Antaramuka

Honor Magic 2 menjalannkan sistem operasi yang sedikit berbeza dengan peranti Honor lain. Honor Magic 2 tidak menjalankan EMUI, tetapi MagicUI 2.0. Ia berasaskan Android 9.0 Pie dan secara langsung menjadikan peranti Honor pertama yang hadir dengan Android Pie. Secara keseluruhan, ia turut mirip dengan EMUI cuma sedikit lebih lancar dan kemas.

Berikut adalah antara fungsi menarik yang hadir dalam MagicUI 2.0;

AR Lens – Fungsi seakan Google Pixel dengan Playground, cuma pada Honor Magic 2 terdapat banyak pilihan watak 3D untuk diambil gambar bersama.

Digital Balance – Digital Wellbeing yang dijenamakan semula dengan cara penggunaan yang lebih mudah.

HiBoard – Ruang khas dalam Home pada pelancar yang memaparkan berita, transit pengangkutan, menjejak barang yang dibeli atas talian, menjejak tapak dan banyak lagi. Ia seperti ruang khas Google Discover.

Party Mode – Menyelarikan lebih dari dua peranti Honor Magic 2 untuk dijadikan sebagai pembesar suara yang lebih immersif.

Yoyo – Pembantu maya yang terbina dalam MagicUI. Turut boleh faham jika mengarah dengan bahasa Cina yang diterjemah dari Google Translate.

Kamera

Antaramuka kamera Honor Magic 2 adalah mirip dengan mana-mana peranti Honor dengan EMUI. Jadi ia tidak kekok untuk menggunakannya. Disebabkan sensor kameranya tidak sama seakan Huawei Mate 20 Pro, fungsi seperti mod malam disorokkan dalam bahagian ‘More’. Tetapi fungsi lain adalah hampir sama dengan sokongan kecerdasan buatan, mod aperture dan potret serta terbaru adalah mod sudut lebar.

Kamera swafotonya sekali cuba, ia tidak begitu mengujakan. Tetapi untuk sebuah peranti dalam siri Honor – hasilnya adalah apa yang saya jangkakan. Ini mungkin kerana mod autonya hadir dengan kecerdasan yang sudah diaktifkan. Kebiasaannya, apabila kamera digunakan tanpa kecerdasan buatan – hasilnya akan lebih baik.

Kesimpulan

Jujurnya, saya kurang gemar dengan peranti Huawei atau Honor disebabkan EMUI. Tetapi dengan MagicUI, walaupun mirip EMUI – setiap tatalan, buka/tutup aplikasi, pasang aplikasi dan animasinya sedikit lebih baik. Pengalaman penggunaan awal pula adalah berbeza dengan mana-mana peranti yang menjalankan EMUI.

Saya gemar menggunakan Yoyo, pembantu maya MagicUI. Walaupun ia akan dibuang dalam versi global, untuk berpeluang mencubanya agak menarik. Mungkin jika Honor boleh membangunkan Yoyo versi global – ia pasti akan menjadi satu tarikan kerana animasi dan suara Yoyo agak menarik. Kamera, seperti yang saya sudah terangkan tadi – ia adalah apa yang dijangkakan dalam sesebuah peranti Honor.

Saya berpeluang menghabiskan masa dengan Honor Magic 2 ini sepanjang hari. MagicUI 2.0 nampaknya mempunyai peluang untuk menggantikan EMUI dalam peranti Honor. Mungkin akan datang MagicUI adalah sistem untuk Honor dan EMUI adalah khusus untuk Huawei? Apa-apa pun jika peranti ini dijual di Malaysia, saya pasti ia akan menarik perhatian ramai.

Terima kasih kepada Mobile2Go untuk unit ujian ini. 


TIPS & ULASAN