Cari @ Amanz

HP Home Planet 2018 hari ini telah berkongsi tentang penciptaan semula komputer riba mereka yang dihasilkan dengan kombinasi sempurna rekaan premium, keselamatan dan prestasi pada komputer riba. Ia memperkenalkan beberapa komputer riba premium serta peranti keluaran HP yang baru di bawah keluarga HP Spectre, iaitu HP Spectre Folio, HP Spectre x360 13 dan HP Spectre x360 15.

Gaya Hidup Moden Dengan HP Spectre Premium

Berbanding edisi HP Spectre x360 sebelum ini,  kali ini lebih memfokuskan kepada ketepatan dan reka bentuk luar biasa berdasarkan pengalaman pengguna yang mendorong inovasi berterusan dalam teknologi. Reka bentuk batu permata yang menonjolkan di setiap sudut peranti menampakkan lagi rekaan lebih premium dan eksklusif berbanding pelbagai komputer riba yang lain. Selain itu, port pengecasan USB-C diletakkan di sudut peranti untuk pengurusan kabel yang lebih baik serta membolehkan komputer riba ini diputar 360 darjah menjadi tablet.

Menariknya, model HP Spectre x360 turut menyertakan butang fizikal menyahaktifkan kamera web sekaligus meningkatkan sekuriti peranti ini. Bagi ketahanan penggunaan bateri, komputer riba ini dikatakan menawarkan masa penggunaan sehingga 22.5 jam. HP Spectre x360 didatangkan dengan dua pilihan warna iaitu Poseidon Blue dan Dark Ash Silver. Ia dikatakan bakal hadir di Malaysia menjelang awal Disember 2018 dengan harga bermula RM 5249 untuk HP Spectre x360 13.

HP Spectre Folio merupakan komputer riba yang hadir dengan rekaan 2-dalam-1, dimana pengguna boleh menggunakannya sebagai tablet atau sebagai komputer riba. HP menggunakan rekaan berasaskan kulit pada bahagian kerangka peranti sekaligus membawa sedikit kelainan berbanding pelbagai peranti di pasaran hari ini.

Spectre Folio juga menyokong 4G LTE yang terbina padanya yang mana menghasilkan sambungan rangkaian peribadi yang lebih selamat. Untuk pengguna yang kerap melakukan aktiviti suntingan video dan grafik, peranti ini turut menyokong penggunaan stylus atau ‘Tilt Pen’. Buat masa ini, HP Malaysia tidak menyatakan sebarang informasi tentang kemasukan model ini ke pasaran tempatan.

Kelancaran Prestasi Kerja Dengan HP Elitebook x360 1040 G5

Pada Oktober lepas, HP Malaysia telah melancarkan komputer riba HP Elitebook x360 1040 G5 di pasaran tempatan. Ia merupakan sebuah komputer riba yang sesuai digunakan untuk kegunaan pejabat yang hadir dengan spesifikasi yang baru dan juga menarik. Peranti ini dibina khusus untuk pengguna yang menginginkan fleksibiliti, mobiliti dan mementingkan sekuriti yang lebih baik sewaktu melakukan tugasan.

Mesin Pencetak Dengan Kemaskini Teknologi Terkini

HP juga turut memperkenalkan inovasi terbaru mesin pencetak yang memfokuskan kepada kepantasan mencetak, dan lebih efisien berbanding sebelum ini. Penciptaan semula kali ini adalah pertama kali dilakukan oleh HP yang membabitkan beberapa kategori pencetak diperkenalkan oleh HP, iaitu siri HP Laser Jet MFP dan HP Jet Fusion 3D.

Terkini, HP Laser Jet M72625dn dan M72630dn termasuk dalam siri A3 PageWide yang menawarkan lebih banyak pilihan cetakan disediakan kepada pengguna. HP turut mengumumkan kerjasama dengan DKSH dalam melancarkan HP Jet Fusion 3D Solutions kepada pengguna di Singapura, Malaysia dan Thailand. Dengan kehadiran teknologi terbaru ini, mesin pencetak 3D ini meningkatkan teknologi 3DP di Asia Tenggara.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd