Cari @ Amanz

Lenovo Mengumumkan Kehadiran Siri Laptop Yoga Baru Untuk Pasaran Malaysia

Oleh Nazrin

Link Copied!

Di acara IFA Berlin beberapa bulan yang lalu, Lenovo telah mengumumkan beberapa siri laptop baru, dan diantaranya ialah siri laptop Yoga, iaitu laptop boleh-lipat yang boleh digunakan dengan beberapa cara yang kreatif.

Diantara laptop-laptop Lenovo Yoga baru yang diumumkan akan memasuki pasaran Malaysia termasuklah Lenovo Yoga S730, Lenovo Yoga C930 dan Lenovo Yoga Book C930.

Lenovo Yoga S730 ialah laptop yang paling ringan dan nipis diantara semua laptop yang dilancarkan. Ia hanya seberat 1,2kg dan mempunyai ketebalan 11.9mm sahaja, disamping daya ketahanan bateri yang dikatakan mampu bertahan selama 12 jam dengan satu pengecasan penuh,

Ia dijana oleh CPU Intel Core i5 dan Core i7 generasi kelapan, pilihan memori DDR4 sehingga 16GB dan juga storan SSD sebesar 1TB dan juga paparan skrin 13 inci dengan resolusi Full HD 1920×1080.

Lenovo Yoga C930 pula ialah sebuah laptop bersaiz 13.9 inci yang hadir dengan dua pilihan resolusi, termasuklah Full HD (1920×1080) dan UHD (3840×2160) yang dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i5-8250U dan Intel Core i7-8550U, memori DDR4 sehingga 16GB dan pilihan storan SSD NVMe sehingga 2TB.

Apa yang menarik mengenai laptop ini, selain daripada kebolehannya untuk dilipat dan digunakan dengan pelbagai cara ialah sound bar berputar yang direka bersama-sama dengan Dolby untuk membawakan kualiti audio Dolby Atmos kepada komputer riba ini. Ia juga hadir dengan stylus yang boleh di simpan di dalam kerangka Yoga C930 ini.

Lenovo Yoga Book C930 boleh dikatakan komputer riba paling unik yang dilancarkan oleh Lenovo setakat ini. Ia hadir di dalam rekaan 10.8 inci yang mempunyai dua skrin, dimana skrin bahagian atas menggunakan panel IPS, dan bahagian bawah menggunakan skrin e-ink yang boleh digunakan sebagai papan kekunci, buku nota ataupun pembaca e-book.

Ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-7Y54, dan hadir dengan memori DDR4 sebanyak 4GB dan juga storan SSD sebanyak 256GB. Sama seperti Yoga C930, Yoga Book C930 ini juga dilengkapi dengan stylus, tetapi Precision Pen ini mempunyai tahap tekanan 4096 titik yang cukup tinggi sekali,

Menurut Lenovo Malaysia, Lenovo Yoga S730 akan mula dijual di pasaran tempatan pada awal bulan Disember kelak pada harga bermula RM3859. Lenovo Yoga C930 pula sudah mula dijual di kedai atas talian Lenovo Malaysia pada harga bermula RM6044 manakala Lenovo Yoga Book C930 pula akan hadir di pasaran tempatan pada penghujung bulan Disember kelak untuk harga yang akan ditetapkan.


Komen ()