Terdapat pelbagai jenama komputer riba di pasaran sekarang dengan kemampuan berbeza untuk keperluan setiap pengguna. Kerap kali kami disarankan untuk membeli sebuah Apple MacBook Air tetapi model terkini yang dihasilkan hadir dengan papan kekunci Butterfly yang kurang kami gemari. Huawei pula ialah pengeluar yang lebih terkenal dengan telefon pintar mereka. Jadi adalah agak aneh sekali apabila komputer riba terbaik yang kami ulas tahun ini dikeluarkan oleh mereka.
Ya kami katakan dari awal lagi Huawei MateBoook Pro X ialah komputer riba pilihan untuk tahun 2018. Ia menggabungkan rekaan yang cukup seksi dengan spesifikasi yang cukup berkuasa dan papan kekunci yang tidak menyakitkan tangan. Ini ialah ulasan penuh Amanz untuk Huawei MateBook Pro X.
Spesifikasi Dan Rekabentuk
Huawei MateBook X Pro | ||
---|---|---|
Skrin | 13.9″ LTPS 3000×2000 pixel, sesentuh | |
Pemproses | Intel Core i7-8650U | |
Grafik | NVIDIA GeForce MX150 2GB | |
RAM | 16 Gigabyte LPDDR3 | |
Muatan Dalaman | 512B SSD PCIe NVMe | |
Kamera | 1 Megapixel | |
I/O | 1 X Thunderbolt 3 USB-C, , 1 X UBS-C USB 3.0, 1 X USB-A 3.1,bicu audio, |
|
HDMI | Tiada | |
Pembaca Kad | Tiada | |
Imbasan | Cap jari (Windows Hello) | |
SIM | Tiada | |
Bateri | 57.4 Wh | |
Harga Jualan | RM 6999 |
Dua model dilancarkan di Malaysia tetapi kami bernasib baik kerana diberikan unit ulasan dengan spesifikasi yang tertinggi. Skrin 13.9″ (3000 x 2000 pixel) bernisbah 3:2 dengan sokongan sesentuh dipadankan dengan pemproses Intel Core i7 8550U, memori sebesar 16GB RAM LPDDR3 dan storan SSD 512GB NVMe PCIe. Terdapat juga kad grafik NVIDIA GeForce MX150 untuk memikul beban perisian grafik dan permainan video tahan permulaan.
Harus kami katakan saiz RAM tidak boleh dinaik taraf sendiri oleh pengguna kerana ia dipateri terus ke papan induk. Dari beberapa video yang kami temui di atas talian, proses membuka panel bawah juga adalah amat sukar kerana pengguna kepada skru torq yang disorokkan di bawah empat pelapik getah. Ini bukanlah komputer riba yang direka untuk dibaiki sendiri oleh pengguna secara DIY.
Skrin yang digunakan adalah amat terang dan tajam. Ia mampu memaparkan 100% warna SRGB. Bezel yang amat digunakan pada tiga dari empat penjuru skrin. Rekaan hampir tanpa bingkai ini serasi dengan trend semasa yang ditemui pada sebuah telefon pintar. MateBook Pro X kelihatan amat cantik kerana rekaan ini tetapi ia menyebabkan tiada ruang untuk sebuah kamera web. Oleh itu kamera web sebesar 1-Megapixel telah disembunyikan pada papan kekunci sebaris dengan kekunci fungsi pada barisan teratas.
Bercakap mengenai papan kekunci, ia adalah dari jenis chicklet dengan sokongan lampu. Di bahagian bawahnya terdapat sebuah pada sesentuh yang bersaiz sederhana besar. Empat pembesar suara diletakkan pada kanan dan kiri papan kekunci di bawah sebuah kekisi audio yang juga agak besar. Sebuah pengimbas cap jari terbina di dalam butang kuasa yang juga terletak bersebelahan papan kekunci. Ini ialah lokasi yang mudah untuk diakses sejurus selepas penutup dibuka.
Melengkapi spesifikasi ialah bateri sebesar 57,4 Watt yang dicas semula menggunakan port USB-C. Bercakap tentang I/O komputer riba ini hadir dengan satu port USB-C USB-3.0, satu USB-C Thunderbolt 3, satu USB-A USB 3.0 dan satu bicu audio 3.5mm. Jumlah I/O yang ditawarkan ini memang kecil tetapi kini menjadi standard majoriti komputer riba di dalam keluarga “ringan dan nipis”.
Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka hanya sebesar 304 x 217 x 14.6 mm. Saiznya yang padat ini memudahkan ia dimasukkan ke dalam mana-mana beg galas tanpa masalah. Beratnya pula hanya 1.33 kilogram yang tidak akan membebankan bahu walaupun ia disandang sepanjang hari. Oleh sebab itu kami mendapati ia cukup kecil untuk digunakan ketika di dalam pesawat walaupun di dalam kelas ekonomi dengan ruang yang amat terhad.
Rekabentuk
Dengan MateBook X Pro, Huawei cuba menghasilkan sebuah komputer riba yang mampu menandingi sebuah MacBook Air. Di dalam bahasa inggeris terdapat satu pepatah yang berbunyi “meniru ialah salah satu cara untuk memuji”. Rekaan Matebook X Pro adalah amat sama dengan MacBook Air dari segi rekaan tubuh, papan kekunci, kemasan dan juga warna. Malahan penggunaan empat pelapik getah pada bahagian bawah juga persis dengan komputer riba popular Apple ini. Perbezaan hanya dilihat pada ukiran logo Huawei pada panel penutup, sokongan USB-A dan papan kekunci dengan rekaan yang lebih konvensional.
Kemasan tubuh adalah pusam yang memastikan cap jari tidak mudah meninggalkan kesan kotoran. Kami amat suka dengan kemasan ini kerana ia membuatkan ia sentiasa kelihatan bersih dan kemas sesuai dengan imej korporat yang cuba disampaikan.
Engsel pada skrin adalah cukup keras bagi memastikan ia tidak bergoyang ketika menaip. Tetapi juga menyebabkan penutup tidak boleh dibuka dengan sebelah tangan. Bahagian bawah akan terjengket jika anda masih bertegas untuk membukanya dengan hanya sebelah tangan.
Lohong udara untuk sistem penyejukan MateBook X Pro turut terletak di belakang engsel skrin. Sekali lagi rekaan yang dipelopori oleh MacBook Air dipinjam oleh Huawei. Empat lubang mikrofon turut boleh ditemui pada bahagian bawah komputer riba. Menurut Huawei ini memastikan audio dapat ditangkap dengan jelas ketika melakukan panggilan video.
Papan Kekunci
Papan kekunci dengan rekaan chicklet yang disertakan memberikan pengalaman menaip yang selesa. Ruang antara kekunci adalah baik dan apabila menekan ia terasa padu walaupun mempunyai jarak travel yang pendek. Dari segi keselesaan rekaan chicklet yang digunakan masih belum menandingi papan kekunci smiley pada sebuah Lenovo ThinkPad. Sebagai pengguna desktop di pejabat, pada awalnya memang terasa sedikit canggung menaip pada MateBook Pro X kerana jarak travel yang pendek ini. Tetapi selepas beberapa hari kami boleh membiasakan diri dan menaip dengan pantas.
Sistem lampu yang digunakan pula hanya menawarkan warna putih. Dua tahap keterangan lampu boleh ditetapkan oleh pengguna. Apabila menaip di dalam gelap, kekunci dapat dilihat dengan jelas dan terang tanpa menyilaukan mata. Namun bagi menjimatkan bateri, kekunci akan terpadam selepas beberapa saat tidak aktif.
Pad Sesentuh
Pad sesentuh menggunakan Windows Precision Driver dan kesemua gesture untuk Windows 10 disokong. Saiznya agak besar untuk sebuah komputer riba Windows. Permukaannya pula cukup licin untuk pergerakan jari. Adalah mudah untuk melakukan suntingan gambar pada pad sesentuh ini kerana ia mengesan pergerakan jari dengan baik. Kami tidak menggunakan tetikus sepanjang tempoh ulasan kerana pad sesentuh yang digunakan cukup jitu untuk keperluan harian.
Butang untuk melakukan klik juga memuaskan. Ia menganjal dengan baik tanpa terasa terlalu lembek seperti yang biasa kami temui pada sesetengah pad sesentuh komputer riba yang kami ulas sebelum ini. Dengan kata lain pad sesentuh MateBook Pro X melepasi piawaian kami kerana menggabungkan saiz yang baik. kejituan mengesan tatalan dan butang klik yang mantap.
Penggunaan
Sebagai seorang penulis dua kriteria utama sebuah komputer riba bagi kami ialah ia perlu mempunyai papan kekunci yang baik dan hayat bateri yang baik. MateBook Pro X memenuhi kedua-dua kriteria ini dengan baik. Papan kekuncinya mungkin tidak setanding dengan sebuah ThinkPad tetapi masih lagi selesa untuk digunakan untuk tempoh yang lama. Ia dipadankan pula dengan pad sesentuh yang mempunyai kejituan yang baik untuk membolehkan kami melakukan suntingan di dalam program seperti Adobe PhotoShop.
Kerana saiznya yang padat, kami boleh menaip dengan selesa di dalam kereta, di atas lantai dan juga di dalam sebuah pesawat. MateBook Pro X kami gunakan sebagai komputer riba kerja utama sejak hari pertama ia tiba ke makmal Amanz. Kerana ia amat selesa digunakan kami tidak mempunyai banyak perkara negatif yang boleh ditulis.
Pada waktu yang sama ia adalah sebuah komputer riba yang cukup berkuasa untuk kesemua tugasan yang kami lemparkan kepadanya. Tiada masalah aplikasi terhenti atau peranti gagal berfungsi sepanjang tempoh ulasan. Dalam dunia kewartawanan di mana setiap saat adalah penting,sebuah komputer riba yang boleh diandalkan seperti MateBook X Pro ini adalah perlu.
Bateri dapat bertahan sehingga 9 jam dalam penggunaan harian kami. Ini adalah mencukupi untuk melakukan tugasan ke beberapa lokasi luar pejabat tanpa perlu risau kehabisan bateri. Jika ini berlaku sekalipun, pengecasan pantas disokong menyelesaikan masalah perlu menanti lama sebelum pengecas perlu ditanggalkan.
Penanda Aras
Pemproses Intel Core i7-8650U hadir dengan empat teras dan dipadankan dengan memori sebesar 16GB RAM LPDDR3. Ini ialah spesifikasi yang tinggi bagi sebuah komputer riba untuk kegunaan pejabat. Dalam ujian penanda aras yang kami lakukan, ia mencatatkan markah yang tinggi setanding dengan komputer riba lain di dalam kelas yang sama. Dengan kad grafik GeForce MX150, ini bukanlah sebuah komputer untuk permainan video. Namun ia cukup berkuasa untuk tugasan grafik ringan atau permainan video generasi terdahulu pada tetapan rendah.
Proses boot up mengambil masa sekitar 7 saat. Ini bukanlah masa boot up yang terpantas yang kami lihat tahun ini tetapi masih lagi munasabah. Tiada masalah melancarkan program dengan pantas. Komputer juga tidak menjadi panas ketika menggunakan perisian biasa seperti melayari web, menstrim video, menstrim audio dan melakukan suntingan gambar. Ia hanya menjadi sedikit panas ketika ujian penanda aras dilakukan.
Audio
Empat pembesar suara disertakan pada MateBook Pro X dengan sokongan Dolby Atmos. Dua terletak pada bahagian atas dan dua lagi pada bahagian bawah di dalam kekisi yang terletak bersebelahan papan kekunci. Saiz kekisi adalah berpadanan seperti yang boleh ditemui pada sebuah MacBook Air 2018 tetapi lebih kecil jika dibandingkan dengan yang digunakan pada sebuah MacBook Pro. Pada bahagian bawah terdapat dua alur audio yang menurut Huawei mengalirkan bunyi keluar dari kebuk audio.
Kualiti audio adalah amat baik bagi sebuah komputer riba. Pada tetapan tertinggi bunyi masih tidak pecah dan adalah cukup lantang untuk menonton video serta mendengar muzik. Memandangkan dua pembesar suara menembak ke bawah, MateBook Pro X memerlukan permukaan meja untuk kualiti audio terbaik. Apabila diletakkan di atas riba, tiadanya permukaan untuk melantunkan semula audio ke atas sedikit sebanyak mengurangkan kualiti.
Sungguhpun begitu sistem audio komputer riba ini masih antara yang terbaik yang pernah kami uji sepanjang 2018. Ia masih sedikit sahaja di belakang MacBook Air 2018. Bagi pengguna Windows, kualiti audio yang dihasilkan adalah lebih dari memuaskan.
Bateri
Bateri 5.4 Wh yang diiklankan dengan kemampuan bertahan sehingga 12 jam dengan sekali caj. Tetapi dalam penggunaan seharian kami, komputer riba ini hanya mampu bertahan sehingga 9 jam. Harus kami tekankan kami banyak menggunakan aplikasi berat seperti Photoshop dan membuka banyak tab pada pelayar web sepanjang tempoh ulasan. Ini sebenarnya masih lagi hayat bateri yang baik untuk sebuah komputer riba kegunaan harian.
Sekiranya kehabisan bateri, ia menyokong pengecasan semula dalam masa kurang dua jam. Bateri sebenarnya boleh dicas ke 50% dalam masa 40 minit. Pengecas 65W yang disertakan menggunakan sambungan USB-C. Saiz pengecas ini juga adalah kecil jika dibandingkan dengan pengecas komputer riba biasa kerana tiada power brick yang besar. Rekaan yang kecil ini mengurangkan ruang yang biasanya diperlukan di dalam beg galas sekaligus mengurangkan berat.
Satu masalah yang harus kami ketengahkan ialah masalah pengecasan ketika pertama kali Matebook X Pro digunakan. Perisian Battery Protection di dalam program PC Manager Huawei menghalang pengecasan selagi bateri tidak turun ke tahap yang rendah. Kami harus menyahaktifkan sistem ini secara manual sebelum pengecasan boleh dilakukan tanpa sebarang halangan.
Tetapan untuk mematikan Battery Protection tersorok di dalam menu sekunder yang sukar untuk ditemui bagi mereka yang tidak pernah menggunakan komputer riba Huawei. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana majoriti pengguna tidak arif dengan perisian ini dan kami sendiri terpaksa melakukan carian Google untuk menyelesaikan masalah ini kerana pada awalnya mengesyaki berlaku kerosakan pada pengecas dan port pengecasan komputer.
Kesimpulan
Sejak MacBook Air dilancarkan lebih enam tahun yang lalu, ia menjadi penanda aras bagaimana sebuah komputer riba nipis dan ringan harus berfungsi. Pengeluar komputer riba Windows segera mengambil inspirasi rekaan yang diperkenalkan. Matebook Pro X ialah komputer riba yang meminjam hampir 90% rekaan MacBook Air asal dengan penambahbaikan skrin dan spesifikasi yang lebih mantap. Tidak melampau untuk mengatakan ia adalah sebuah klon MacBook Air tetapi dengan sistem operasi yang berlainan.
Biasanya klon adalah produk yang tidak setanding asal. Di dalam kes MateBook Pro X, Huawei berjaya menghasilkan sebuah komputer riba yang bukan sahaja kelihatan menarik di luar tetapi berfungsi dengan baik di dalam. Sepanjang proses ulasan ia telah menggantikan komputer riba peribadi kami untuk kegunaan tugasan harian. Dengan cip Intel Core i7 865oU dan memori sebesar 16GB RAM, ia berfungsi dengan cukup lancar. Tiada masalah program gagal berfungsi atau tersedak ketika kami melakukan kerja. Dengan SSD pantas yang disertakan, membuka program dan memindahkan fail dapat dilakukan sepantas kilat.
Kad grafik NVIDIA MX150 yang disertakan tidak berkuasa untuk menjalankan permainan video kelas tinggi tetapi adalah lebih dari mencukupi untuk memikul keperluan grafik perisian seperti PhotoShop dan Lighthroom yang kami gunakan untuk menulis artikel.
Paling menarik MateBook Pro X berfungsi dengan senyap tanpa deruman kipas mengganggu konsentrasi untuk menaip. Walaupun senyap kami tidak menyedari sebarang masalah pemanasan dan ia boleh kami letakkan di atas riba sepanjang hari tanpa terasa seperti dipanggang hidup-hidup seperti yang berlalu pada HP Spectre 13 tempoh hari.
Pada harga jualan RM6999 sebuah ia adalah di luar kemampuan kebanyakan pengguna. Tetapi sekiranya anda mencari sebuah komputer riba Windows 10 yang berkuasa, mempunyai rekaan yang menarik, bateri yang bertahan lama dan papan kekunci yang cukup selesa digunakan, kami merasakan Huawei MateBook X Pro adalah untuk anda.
Komputer riba untuk pengguna profesional yang lebih baik dari Matebook X Pro mungkin adalah Lenovo ThinkPad X1 Yoga tetapi ia dijual pada harga hampir RM10,000. Jadi pada hemat kami, MateBook X Pro menawarkan nilai yang baik dengan wang yang dibelanjakan. Oleh itu kami dengan mudah mengatakan Huawei MateBook Pro X ialah komputer riba pilihan untuk 2018.
PRO dan Kelebihan
- Skrin sesentuh yang terang dan tajam dengan bingkai yang nipis.
- Spesifikasi yang tinggi dengan cip Intel Core i7 generasi terkini, saiz RAM yang amat besar dan SSD yang pantas.
- Berfungsi dengan senyap tanpa gangguan deruman kipas penyejuk.
- Berfungsi dengan sejuk membuatkan ia selesa digunakan untuk menaip di atas riba.
- Papan kekunci yang selesa digunakan untuk menaip dipadankan dengan pad sesentuh yang jitu.
- Hayat bateri yang panjang iaitu sekitar 9 jam dengan sokongan pengecasn pantas yang bersaiz padat.
- Masih mengekalkan satu USB-A USB 3.0 dan hadir dengan dua port USB-C.
- Sistem audio yang baik dengan Dolby Atmos
KONTRA dan Kekurangan
- Hanya satu port USB-C ThunderBolt 3.
- Kamera web pada lokasi aneh dengan resolusi yang amat rendah.
- RAM tidak boleh ditambah kerana dipateri terus ke papan induk.
- Lampu papan kekunci terpadam dengan terlalu pantas apabila tidak digunakan.
- Perisian Huawei PC Manager agak agresif mengawal sistem sehingga menghalang pengecasan bateri. Menu tersorok untuk menyahaktifkan fungsi yang sepatutnya dikawal sendiri oleh Windows.