Menjadi kebiasaan untuk sesuatu syarikat teknologi mendaftarkan paten untuk teknologi baru yang sedang dibangunkan mereka. Terkini, ia dilihat Apple telah mendaftarkan paten yang memperlihatkan Siri mungkin akan hadir dengan sokongan luar-talian.
Seperti ramai sedia maklum, pada masa kini, Siri menggunakan sokongan internet untuk memberikan pelbagai maklumbalas. Ini membuatkan ia tidak dapat beroperasi sekiranya menghadapi masalah akses talian, atau ketika dalam mod penerbangan.
Melalui paten baru, ia dilihat Apple ingin membolehkan beberapa permintaan diproses pada peranti sendiri, dan memberikan maklumbalas berdasarkan kepada pangkalan data yang disimpan pada telefon. Dengan cip pemprosesan masa kini yang turut menyertakan enjin neural tersendiri, maka hal ini mungkin tidak mustahil untuk diimplementasikan.
Buat masa ini, ia sekadar pendaftaran paten sahaja, dan tidak diketahui lagi bilakah Apple akan mengimplementasikannya secara rasmi.