Kerana bebanan kerja adalah agak sukar mencari masa untuk bersenam setiap hari. Bagi mereka yang mempunyai jati diri yang tinggi, waktu bersenam dilakukan pada waktu malam selepas habis bekerja di pejabat. Suhu yang lebih rendah selepas matahari terbenam juga menjadi faktor aktiviti ini dilakukan pada waktu malam. Tetapi ini mendedahkan pengguna bahaya digilis ketika sedang berlari di dalam gelap.
Fon telinga Leah Life Saving Light-Up direka khusus untuk membuatkan pengguna kelihatan pada waktu malam. Fon telinga ini mempunyai sistem lampu terbina yang membolehkan pemakai dilihat dengan jelas dari jarak 100 kaki. Mereka kini boleh berjongging di dalam gelap sambil mendengar muzik kegemaran tanpa perlu risau mereka tidak dilihat pada waktu malam. Fon telinga ini sedang mengumpul dana menerusi Kickstarter dan boleh ditempah pada harga bermula $99 (~RM 415).