Cari @ Amanz

Apabila melantik seseorang menjadi menteri sesebuah badan kerajaan, kebiasaannya orang tersebut harus sekurang-kurangnya mempunyai kefahaman asas mengenai kementerian yang akan dikepalainya.

Hakikatnya berbeza apabila Yoshitaka Sakurada, yang dilantik menjadi menteri keselamatan siber negara Jepun baru-baru ini membuat pengakuan bahawa dia tidak pernah menggunakan komputer langsung sepanjang hidupnya.

Malah, apabila ditanya mengenai bagaimana beliau menjalankan tugas yang memerlukannya menggunakan komputer, dia berkata bahawa dia mempunyai pegawai yang membantunya menjalankan tugas-tugas tersebut.

Menteri tersebut yang berumur 68 tahun turut bertanggungjawab untuk keselamatan siber di acara sukan Olimpik yang akan berlangsung pada tahun 2020.

Apabila ditanya mengenai kepakaran beliau di dalam industri keselamatan digital, beliau turut berkata lagi bahawa para pegawai beliau lebih pakar daripadanya, dan dia tidak berasa risau mengenai persediaan kementerian tersebut menjelang acara sukan tersebut.

Ini agak aneh dan sedikit menyegarkan kerana tidak ramai ahli politik di mana-mana sekalipun yang begitu jujur menyatakan bahawa mereka bukanlah pakar (malahan tidak tahu apa-apa) di dalam bidang tugas kementerian mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd