Microsoft nampaknya memberikan lebih banyak perhatian kepada Xbox akhir-akhir ini. Terbaru, hari ini laporan baru hadir mengatakan Microsoft sedang dalam membangunkan sebuah variasi Xbox generasi baru yang memfokuskan kepada penggunaan kandungan digital sepenuhnya, dan hadir tanpa sokongan cakera.
Variasi baru Xbox One ini dijangka diumumkan pada 2019 kelak. Pengguna akan diperlukan membeli kandungan secara digital – dan bukan lagi dalam bentuk fizikal seperti sebelum ini.
Langkah ini dijangka menguntungkan pihak Microsoft dan juga pengguna. Untuk pengguna, anda boleh menikmati diskaun untuk pembelian kandungan secara digital – sementara Microsoft turut boleh menjana lebih pendapatan dengan penawaran secara digital melalui kedai atas-talian mereka.
Laporan sama turut mengatakan Microsoft akan menawarkan khidmat mengubah permainan sedia ada milik pemain daripada bentuk fizikal kepada digital. Namun, ia mungkin akan ditawarkan dibeberapa negara yang mana Xbox disokong secara rasminya – yang mana malangnya Malaysia bukan salah satu daripadanya.
Adakah hal ini akan memperlihatkan peralihan kepada konsol yang beroperasi dengan kandungan digital sepenuhnya – apatah lagi dengan era internet berkelajuan tinggi yang memudahkan pengguna menstrim kandungan dan memuat-turun pelbagai perkara dengan lebih pantas lagi?
- Diterbitkan terlebih dahulu di Aksiz. Ikuti Aksiz untuk pelbagai permainan video terkini.