Kerap kali ruangan komen video YouTube lebih menarik dari kandungan yang dipaparkan. Melihat perdebatan di bawah video boleh memberikan maklumat lebih lanjut mengenai topik yang dibincangkan. Tetapi ruangan komen tidak boleh dibaca apabila menonton video dalam mod skrin penuh.
YouTube secara senyap mula membenarkan tatalan ke bawah apabila video di dalam mod skrin untuk membaca komen sejak semalam. Apabila menonton video di dalam skrin penuh, anda boleh melihat “Scroll for details” pada bahagian bawah pemain video. Apabila ditatal video akan terus dimainkan dan komen boleh dibaca. Buat masa ini fungsi ini hanya disokong pada YouTube versi web sahaja. Ia masih belum sempurna kerana video tidak lagi kelihatan apabila tatalan ke bawah dilakukan.