Baru-baru ini, Google mengumumkan jawatan CEO Google Cloud akan diberikan kepada Thomas Kurian. Thomas yang sebelum ini adalah Presiden Pembangunan Produk untuk Oracle akan menggantikan jawatan Diane Greene. Ini adalah satu strategi mereka dalam urusan Google Cloud.
Thomas Kurian yang sudah mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dengan Oracle akan membantu Google Cloud untuk menjadikan bahagian ‘awan’ Google ini lebih mesra-perusahaan. Thomas keluar dari Oracle selepas tidak mempunyai persetujuan Pengerusi Oracle Larry Ellison dalam hal-hal strategi ‘awan’. Thomas ingin menjadikan perisian Oracle seperti AWS, Google Cloud atau Azure – tetapi Larry Ellison tidak bersetuju.
Diane Greene pula, hanya berkhidmat dengan Google Cloud selama 3 tahun. Beliau juga adalah yang bertanggungjawab dalam VMware. Tetapi, hasil kerja beliau tidak mencapai sasaran yang Google inginkan. Oleh itu, beliau akan membantu Thomas Kurian sehingga awal tahun hadapan. Menurut laporan, latar belakang Thomas Kurian dilihat tidak sesuai dengan jawatan di Google ini – tetapi pemikiran beliau dalam urusan Oracle menarik minat Google.
Buat masa ini AWS berada di tangga pertama, Azure kedua, IBM ketiga dan Google berada di tangga keempat. Kelak Google Cloud mungkin akan lebih maju dengan Thomas Kurian sebagai CEO terbaru.