Pada tahun lepas, D-Link dan beberapa pembekal perkhidmatan Internet (ISP) seperti TM dan Time terkesan oleh masalah kerentanan sekuriti melalui penghala WiFi mereka, D-Link DIR-850L. Masalah tersebut cepat diperbetulkan oleh D-Link dan ISP yang terlibat untuk memastikan bahawa sambungan internet para pelanggan tersebut selamat.
Lowyat.Net baru sahaja melaporkan bahawa penghala WiFi DIR-850L Hardware Revision A kini tiba dengan isu kerentanan sekuriti baru yang membolehkan penggodam untuk menyambung ke rangkaian WiFi penghala tersebut tanpa memerlukan kata laluan, tidak kira jika rangkaian tersebut dikunci menggunakan WEP (Wired Equivalent Privacy) ataupun WPA (Wi-Fi Protected Access).
Satu berita yang sedikit baik ialah kerentanan ini hanya boleh diakses jika penggodam tersebut berada di dalam jarak rangkaian WiFi anda, dan ia tidak boleh diakses melalui Internet dari jarak jauh.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa D-Link sedar akan isu ini, dan sudahpun hadir dengan kemaskini yang menutup kerentanan tersebut. Dalam pada itu, penghala D-Link DIR-850L Hardware Revision B tidak terkesan oleh kerentanan ini.
Akan tetapi, satu masalah untuk para pengguna penghala ini di Malaysia ialah para pengguna ISP TM dan Time tidak boleh memasang kemaskini tersebut kerana kedua-dua ISP tersebut mempunyai beberapa tetapan istimewa yang akan dipadamkan sekiranya kemaskini tersebut dipasang.
Sejak insiden tahun lepas, pihak Time telahpun menukarkan penghala WiFi mereka kepada jenama TP-Link, tetapi TM masih lagi menggunakan router D-Link DIR-850L ini untuk para pelanggan baru mereka.