Pada awal hari ini, kita telah mendengar mengenai laporan berkenaan kerentanan pada penghala D-LINK DIR-850L, dimana melaluinya ia membolehkan penggodam untuk mencuri masuk ke rangkaian WiFi tanpa memerlukan kata laluan.
Kemaskini untuk mengatasi masalah kerentanan ini telah pun dikeluarkan pihak D-Link, tetapi seperti biasa, ia kadang-kala akan memerlukan pengesahan pihak syarikat telekomunikasi sebelum ia boleh dipasang.
Kini, bercakap mengenainya, TM mengatakan yang mana pelanggan mereka tidak terjejas dengan masalah ini. Hal ini kerana model yang dikeluarkan oleh TM untuk pelanggan mereka adalah versi B1, dan bukannya versi A yang terjejas ini.
TM turut menekankan yang mana mereka memberikan jaminan keselamatan dan privasi untuk para pelanggan mereka. Berikut merupakan kenyataan penuh TM yang dikeluarkan kepada kami:
Kami ingin memaklumkan bahawa router DLink yang dibekalkan kepada para pelanggan kami tidak terjejas dengan isu pengesahan keselamatan. Router yang dibekalkan kepada pelanggan kami adalah dari versi b1, sementara versi yang terjejas adalah versi a.
Kami memberi jaminan bahawa keselamatan dan privasi para pelanggan kami menjadi keutamaan penting dan kami akan memaklumkan sekiranya sebarang penambahbaikan keselamatan (security patches) perlu dilakukan terhadap router berkenaan.