Cari @ Amanz

Bas Ekspres Baharu Perlu Dilengkapi Kamera Litar Tertutup Dan Tali Pinggang Keledar

Link Copied!

Kemalangan maut melibatkan bas ekspres akan meningkat terutamanya ketika musim perayaan dan cuti sekolah. Saban tahun kita mendengar kerajaan akan mengkaji cara untuk mengelakkan insiden tragis melibatkan kematian puluhan penumpang dari berlaku tetapi ia kekal janji tinggal janji. Semalam Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bas ekspres baharu perlu dilengkapi kamera litar tertutup dan tali pinggang keledar bermula 2019.

Bas-bas baharu juga perlu dilengkapi alat kawalan halaju maksimum serta sistem brek yang memperlahankan bas secara automatik apabila ia hilang kawalan ketika menuruni bukit. Penumpang bas ekspres perlu memakai tali pinggang keledar bermula 2019 dan penguatkuasaan pada tahun 2020.

Kesemua sistem baharu ini dicadangkan oleh Panel Kaji Semula Syor (RRP) selepas mengkaji laporan tragedi bas Genting yang meragut 37 nyawa pada Ogos 2013. Pada waktu yang sama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) juga akan ditubuhkan bagi menyiasat kesemua kemalangan yang melibatkan pengangkutan di Malaysia. Ia akan mempunyai kuasa yang sama seperti NTSB di Amerika Syarikat dan Komite Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT) di Indonesia.


Komen ()