Format perkongsian “Stories” telah menjadi popular sejak digunakan Snapchat, Facebook dan Instagram. Pelbagai perkhidmatan telah mula mengintegrasikannya, dan kini LinkedIn turut tidak ketinggalan.
Terkini, di Amerika Syarikat, LinkedIn telah memulakan ujian untuk apa yang dipanggil mereka sebagai “Student Voices”. Ciri ini ditujukan kepada para pelajar universiti di Amerika Syarikat, dan membolehkan para pelajar berkongsi video ringkas mereka dalam senarai perkongsian kampus mereka.
LinkedIn menyasarkan melalui ciri ini, pelajar boleh berkongsi pengalaman mereka ketika bertugas sebagai pelatih, pengalaman ke pameran kerjaya, mahupun berkongsi projek yang dibangunkan mereka. Ia sekaligus membina profil seseorang pelajar tersebut sendiri, dan membolehkan majikan melihatnya.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah LinkedIn akan memperkenalkan ciri ini secara rasminya kepada semua pengguna. Dengan lebih ramai yang meminati format kandungan baru ini, tidak mustahil untuk melihat pelbagai syarikat mengimplementasikannya dan menjadikan platform mereka mesra pengguna muda dan remaja yang selesa dengan format “Stories” ini.