Cari @ Amanz

Xiaomi sudah lama hadir dengan televisyen mereka tersendiri. Bulan September lepas, tiga model televisyen Mi TV baru telah diperlihatkan dan salah satu daripadanya iaitu Mi TV 4C Pro atau nama lainnya Mi TV 4A sudah pun mula dijual di Indonesia.

Terkini, Xiaomi hadir dengan Mi TV 4S 75-inci. Televisyen ini menyokong paparan 4K HDR, diperbuat dari besi, mempunyai pembesar suara Dolby + DTS, sistem operasi dengan kecerdasan buatan PatchWall OS dan kemampuan kawalan dengan arahan suara. Panel TV ini adalah berasaskan LCD dan saiz 75-inci ini adalah saiz paling besar yang pernah Xiaomi lancarkan. Mi TV 4S 75-inci ini dijana dengan cip Amlogic generasi keenam yang dipadankan dengan memori 2GB RAM dan storan dalaman 8GB.

Xiaomi sudah pun mula membuka tempahan untuk Mi TV 4S 75-inci ini untuk pasaran China. Ia dijual pada harga RMB7999 iaitu sekitar RM4835 sahaja. Untuk saiz sebesar ini, sokongan 4K dan sebuah TV pintar harga bawah RM5000 boleh dikatakan murah dan berbaloi untuk dimiliki. Bilakah Mi TV akan masuk ke pasaran Malaysia? Itu masih belum diketahui.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd