Terdapat banyak pelombong kriptowang di pasaran sekarang dan kesemunya kelihatan seperti sebuah komputer desktop. Ini bukanlah rekaan yang menarik menyebabkan mesin pelombong tidak diletakkan secara terbuka. Coinbase One berbeza dengan pelombong lain kerana ia direka untuk kelihatan bergaya sehingga boleh diletakkan di ruang tamu.
Sekilas pandang ia kelihatan seperti sebuah konsol Xbox One S. Ia menggunakan sistem operasi MineOS yang boleh diprogramkan untuk melombong pelbagai kriptowang seperti Ethereum dan Monero. Pengguna boleh mengawal Coinbase One serta melihat jumlah yang telah dilombong menerusi aplikasi telefon pintar.
Pelombong ini dilengkapi pemproses Intel Celeron J dua teras, kad grafik AMD Radeon RX570, memori sebesar 8GB RAM dan storan sebesar 1TB. Ia dijual pada harga $799 (~RM 3348) sebuah.