Gobind : Syarikat Telekomunikasi Perlu Menawarkan Perkhidmatan Berkualiti, Akan Membantu TM Setakat Yang Boleh

Gobind : Syarikat Telekomunikasi Perlu Menawarkan Perkhidmatan Berkualiti, Akan Membantu TM Setakat Yang Boleh

Diterbitkan pada November 21, 2018 oleh .

Akhir-akhir ini ramai pengguna menyuarakan ketidak-puashatian mereka terhadap syarikat telekomunikasi, terutamanya berkaitan dengan pelan Streamyx yang masih berharga mahal berbanding pakej Unifi yang membawakan perbezaan harga yang sangat jauh. Hal ini turut membawa kepada Menteri Komunikasi & Multimedia, Gobind Singh Deo yang menyuarakan suara rakyat ini, dan pada masa sama meminta Telekom Malaysia untuk berkomunikasi dengan efektif bersama pelanggan mereka.

Lanjutan daripadanya, terdapat beberapa pihak tidak begitu berpuas-hati dengan menteri yang menyuarakan pendapat rakyat dan meminta TM mengambil tindakan yang sepatutnya – sekaligus memulakan petisyen terhadap beliau untuk berhenti daripada jawatan berkenaan.

Mengulas lanjut mengenainya, Menteri Komunikasi dan Multimedia mengatakan yang mana petisyen berkenaan tidak akan menghalang beliau melakukan tugasan yang sepatutnya. Beliau turut meminta syarikat telekomunikasi meningkatkan tahap perkhidmatan mereka, dan ia secara tidak langsung akan membawa kepada peningkatan pelanggan dan keuntungan mereka.

Menteri menekankan yang mana kerajaan akan membantu setakat mana yang boleh dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi Telekom Malaysia. Hal ini akan membolehkan infrastruktur yang kukuh dibina, sekaligus membantu perkembangan yang lain, termasuk ekonomi digital dan sebagainya.

Pada masa yang sama, beliau menekankan yang mana harga MSAP adalah suatu yang telah dibincangkan oleh Telekom Malaysia bersama beberapa penyedia perkhidmatan lain seperti Maxis dan sebagainya. Beliau turut meminta syarikat telekomunikasi untuk melihat kepada model bisnes syarikat mereka untuk menjana keuntungan, dan bukannya menyalahkan menteri berkenaan harga saham yang jatuh dan sebagainya.

Masalah berkaitan harga untuk pakej Streamyx ini adalah suatu hal yang telah dibangkitkan ramai sehingga kini, tetapi akhir-akhir ini ia turut menerima perhatian pihak menteri. Masalah yang timbul adalah kerana harga 1Mbps yang dibayar oleh pengguna Streamyx mencapai harga RM110, sementara pengguna Unifi hanya membayar RM129 untuk 100Mbps. Pada masa yang sama, ramai pengguna Unifi juga turut tidak gembira dengan perbezaan harga yang hadir untuk pelanggan Unifi bagi penawaran kelajuan internet yang sama.


TIPS & ULASAN