Cari @ Amanz

Sebagai peminat siri House M.D, sering kali terdapat babak pesakit menjalani imbasan CT bagi mencari sumber kesakitan mereka. Mesin CT yang digunakan sekarang hanya boleh mengimbas sebahagian tubuh pesakit pada satu-satu masa. Ini menyebabkan waktu imbasan yang lama perlu dilakukan untuk seluruh tubuh dan ini mungkin menimbulkan ketidakselesaan kepada pesakit.

Penyelidik di UC Davis dan United Imaging Healthcare telah mengumumkan sistem imbasan seluruh tubuh pertama dunia. Mesin EXPLORER yang menggabungkan sistem imbasan CT (computed tomography) dan PET (positron emission tomography) mampu mengimbas insan dengan ketinggian sehingga 2 meter. Imbasan keseluruhan tubuh juga boleh dilakukan dalam masa 20-30 saat sahaja yang lebih pantas dari kemampuan mesin CT semasa.

Dengan kemampuan mengimbas seluruh tubuh, pengamal perubatan boleh melihat kesan memasukkan glukosa ke dalam tubuh secara menyeluruh misalnya. Ia juga boleh digunakan untuk melihat perkembangan kanser, jangkitan, radang dan gangguan metabolik tubuh.

Kerana kemampuan mengimbasnya yang tinggi, EXPLORER boleh mengambil 40TB dalam sehari penggunaan dan memerlukan enam rak komputer untuk berfungsi. Pihak UC Davis dan UHI akan memperlihatkan imbasan tubuh yang lebih menyeluruh di perjumpaan persatuan radiologi Amerika Syarikat pada penghujung bulan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd