Pandang Pertama: OPPO R17 Pro – Rekaan Anggun Dengan Sistem Tri-Kamera Yang Menawan

Pandang Pertama: OPPO R17 Pro – Rekaan Anggun Dengan Sistem Tri-Kamera Yang Menawan

Diterbitkan pada November 22, 2018 oleh .

OPPO R17 Pro
Skrin 6.4” AMOLED, FHD+, 19.5:9
Chipset Qualcomm Snapdragon 710
CPU 2 x Kryo 360 Gold 2.2 GHz
6 x Kryo 360 Silver 1.7 GHz
GPU Adreno 616
Memori 8GB RAM
Storan 128GB
Kamera Utama 12MP f/2.4 / f/1.4 + 20MP + ToF
Kamera Hadapan 25MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
USB-C
Sistem ColorOS 5.2
Android 8.1 Oreo
Bateri 3700 mAh, SuperVOOC 50W
Dimensi 157.6 x 74.6 x 7.9 mm
Berat & Ketebalan 183g, 7.9mm

OPPO siri R merupakan siri yang memfokuskan kepada gaya hidup dengan menawarkan rekaan dan fungsi yang mesra dengan orang ramai. Ia meliputi rekaan peranti yang menarik, prestasi yang pantas, bersama keupayaan kamera yang menawan untuk kegunaan harian. Tetapi apa yang menarik pada siri ini, ia juga menjadi siri untuk perletakkan sejumlah teknologi baru sebelum ia diperluaskan kepada siri OPPO yang lain.

OPPO telah meletakkan sejumlah teknologi baru di dalam OPPO R17 Pro ini antaranya sokongan tiga kamera yang menyertakan sejumlah kebolehan yang tidak ada pada peranti OPPO sebelum ini. Ia menyertakan kebolehan aperture yang boleh diubah daripada f/2.4 ke f/1.5, yang membolehkan pengguna mengambil gambar malam yang terang. Ia juga menyertakan sensor Time-of-Flight (ToF), bagi membolehkan kamera menerima bacaan 3-dimensi yang lebih baik.

Ia juga menampilkan cip Snapdragon 710, iaitu cip kelas pertengahan dengan prestasi yang hampir menyerupai siri Snapdragon 8xx. Ia juga masih membawakan pengimbas cap jari di bawah skrin, yang mana telah diperkenalkan bermula OPPO R15 Pro. Dengan pengumuman jualannya di Malaysia, peranti ini dilihat menarik dan bakal memberi nilai yang hebat untuk segmen peranti sekelasnya.

Rekaan

Sebelum bercakap mengenai rekaannya, peranti ini didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan atas, seperti kehadiran skrin 6.4-inci Full HD+ dengan nisbah 19.5:9, cip Snapdragon 710, memori 8GB RAM, dan storan dalaman 128GB. Ia juga menawarkan beberapa sambungan terkini seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 3700 mAh dengan pengecasan SuperVOOC 50W.

OPPO R17 Pro hadir dengan binaan belakang yang menarik, melalui penggunaan bahan binaan berasaskan “3D misted glass”. Binaan ini dilihat sangat efektif dalam mengurangkan kesan cap jari, sekaligus memudahkan ia memelihara rupa peranti. Bagi menjadikan rekaan peranti ini kelihatan lebih menarik, binaan belakangnya turut digarap dengan warna cerun (gradient), dengan menggabungkan dua warna berbeza iaitu ungu dan biru. Binaan ni memberi kesan kilauan yang menawan, terutama anda melihatnya dari perspektif yang berbeza.

Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang kuasa pada bahagian kanan, sementara butang pelarasan suara ditempatkan pada bahagian kiri. Di bawahnya terdapat pembesar suara mono, sambungan USB-C, dan slot kad dwi-sim. Seperti OPPO Find X, peranti ini tidak menawarkan sambungan bicu audio 3.5mm, sekaligus memerlukan pengguna bergantung kepada penggunaan dongle USB-C ke 3.5mm.

Pada bahagian hadapan, ia menawarkan paparan AMOLED sebesar 6.4-inci, dengan resolusi skrin Full HD+ pada nisbah 19.5:9. Seperti OPPO F9, ia kini menggunakan takuk seumpama titisan air, bagi perletakkan kamera hadapan, proximity sensor, dan saluran pendengaran. Rekaan takuk ini tidak begitu mengganggu bahagian atas skrin, sekaligus memberi keluaran paparan yang lebih besar. Dengan penggunaan AMOLED, ia menawarkan kualiti skrin yang cukup terang, disamping memberi viewing angle yang luas apabila dilihat dari sudut berlainan.

Untuk sokongan sekuriti, ia menampilkan sistem imbasan biometrik yang cukup ke hadapan, melalui kehadiran pengimbas cap jari di bahagian bawah skrin. Namun kadar kepantasannya dilihat sederhana dan sering memberi bacaan yang kurang tepat apabila anda meletakkan jari dari arah berbeza. Untuk mengurangkan masalah ini, anda masih boleh menggunakan fungsi imbasan wajah yang mampu membuka peranti dengan kadar yang jauh lebih pantas.

Dari segi variasi, OPPO R17 Pro hanya ditawarkan dalam satu variasi sahaja untuk pasaran Malaysia, iaitu dengan memori 8GB RAM bersama storan dalaman 128GB. Ia tidak menawarkan slot kad mikroSD, namun storan dalamannya dilihat cukup besar dan memberi prestasi yang lebih pantas kerana dibina berasaskan teknologi storan UFS 2.1. Dari segi pilihan warna, hanya terdapat satu warna yang ditawarkan iaitu Radiant Mist seperti yang anda lihat di dalam artikel ini.

Sistem

OPPO R17 Pro dijana dengan ColorOS 5.2 iaitu antaramuka yang dibina berasaskan Android 8.1 Oreo. Ia merupakan versi antaramuka yang sama digunakan pada OPPO Find X, jadi anda dapati rekaannya kini kelihatan lebih kemas dan moden. Ia masih menampilkan paparan utama tanpa talam aplikasi, namun ia menyajikan kebolehan pertukaran tema yang boleh dimuat-turun.

Antara perkara baru yang hadir pada iterasi ColorOS pada kali ini, ia menyajikan fungsi Smart Bar yang membolehkan anda mengakses sejumlah fungi dan aplikasi pada bahagian sisi skrin. Ia juga menawarkan sokongan gesture, untuk memudahkan anda menuju ke paparan skrin utama dan pertukaran aplikasi melalui gesture seumpama iPhone X. Bagi anda yang meminati permainan mudah-alih, anda boleh menggunakan fungsi Game Space, untuk menyekat notifikasi dan melancarkan prestasi ketika memainkan permainan.

Prestasi

OPPO R17 Pro dijana dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 710, iaitu cip kelas pertengahan dengan prestasi yang lebih berkuasa. Ia membawakan cip lapan-teras, menerusi 2 x Kryo 360 Gold 2.2 GHz + 6 x Kryo 360 Silver 1.7 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 616. Apabila diuji pada aplikasi penanda aras, ia mencatatkan prestasi yang hampir mendekati Snapdragon 835, iaitu cip berkuasa untuk peranti keluaran tahun 2017.

Pada percubaan awal, peranti ini ternyata tidak memberi sebarang isu ketika menggalas aplikasi harian, dengan masa pembukaan aplikasi yang sangat singkat. Membuat pertukaran aplikasi tidak memberi masalah lengah masa, yang mana dibantu dengan penggunaan memori setinggi 8GB RAM. Memainkan permainan terkini seperti PUBG Mobile dapat dimainkan pada tetapan grafik tinggi, dengan kadar bingkai (frame rate) yang konsisten.

Kamera

Untuk keupayaan kamera, OPPO R17 Pro membawakan sistem tri-kamera yang cukup unik, dengan menampilkan sensor utama 12MP f/2.4 / f/1.5, sensor 20MP f/2.6 untuk kebolehan bokeh, dan sensor Time-of-Flight (ToF) untuk pengimejan 3D yang lebih baik. Ia juga menyertakan beberapa fungsi tambahan pada kamera, seperti Dual Pixel PDAF untuk pemfokusan yang lebih pantas, bersama sistem penstabilan imej OIS untuk mengurangkan kesan gegaran.

Hasil percubaan awal, ia kelihatan sangat baik, dengan memberi perwarnaan yang neutral untuk kebanyakan situasi harian. Ia juga sering menghasilkan gambar yang terang dan tajam, melalui penggunaan piksel sebesar 1.4um bersama penstabilan imej OIS. Ia juga menyertakan Smart Aperture dengan membolehkan kamera menggunakan aperture F/2.4 di bawah pencahayaan yang terang, dan menukarnya kepada aperture F/1.5 apabila berdepan dengan pencahayaan yang malap.

Tetapi yang menjadi tarikan kepada kamera peranti ini, ia hadir dengan Ultra Night Mode, yang membolehkan anda mengambil gambar malam dengan hasilan yang mengagumkan. Fungsi ini menggunakan konsep tangkapan slow shutter, bagi membolehkan lebih banyak cahaya dikumpulkan untuk penghasilan gambar yang lebih terang. Menariknya, ia tidak memerlukan sebarang tripod, yang mana dijayakan dengan sistem penstabilan OIS bersama teknologi Smart Aperture.

Untuk kamera hadapannya, ia hadir dengan sensor 25MP f/2.0 dengan penyertaan lensa bersudut lebar. Ia dilihat memberi kualiti selfie yang jelas dan tajam, bersama julat dinamik (dynamic range) yang seimbang. Ia juga menyertakan kebolehan Portrait, yang membolehkan anda mengambil gambar swafoto dengan kesan kabur di bahagian belakang wajah.

OPPO turut mendatangkan beberapa fungsi menarik pada aplikasi kamera OPPO R17 Pro seperti Expert Mode untuk kebolehan kawalan manual. Ia juga menyertakan Portrait Lighting iaitu fungsi yang dapat membuat simulasi penggambaran seumpama di dalam studio. Seperti OPPO Find X, anda boleh menggunakan O-moji, yang membolehkan anda bermain dengan animasi menarik melalui penggunaan kamera hadapan.

Bateri

Dari segi bateri, OPPO R17 Pro membawakan kapasiti bateri seumpama OnePlus 6T, menerusi kapasiti bateri 3700 mAh. Dengan penggunaan cip 10nm menerusi cip Snapdragon 710, ia dijangka dapat memberi penggunaan sepanjang hari dengan nyalaan skrin yang lama.

Dengan padanan cip 10nm dan kapasiti bateri 3700 mAh, ia dijangka dapat memberi bacaan nyalaan skrin (SoT) sekitar 6-7 jam untuk penggunaan dari pagi sehingga ke waktu malam. Dari segi pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 50W, yang membolehkan bateri dicas sehingga 40% dalam masa hanya 10 minit.

Rumusan

OPPO R17 Pro menawarkan sebuah peranti kelas pertengahan yang cukup menarik, walaupun harga yang jualannya hampir mendekati peranti berkuasa. Ia membawakan rekaan yang premium, melalui tampilan kaca 3D bersama dua gabungan warna berbeza untuk memberi tampilan peranti yang lebih elegan. Dengan rekaan takuk seumpama titisan air, ia memberi ruang paparan yang lebih luas untuk pembacaan dan tontonan media.

Ia juga menampilkan sejumlah teknologi menarik di dalamnya, seperti kebolehan tiga kamera dengan sistem ToF dan kebolehan aperture yang boleh diubah. Dengan pengimbas cap jari di bahagian bawah skrin, ia membenarkan anda membuka peranti ini mudah dengan hanya meletakkan jari atas skrin. Masa pengecasan peranti ini juga dapat disingkatkan melalui SuperVOOC 50W, yang membolehkan anda mengecas peranti ini sekitar 40% dalam masa hanya 10 minit.

Peranti ini mempunyai penawaran fungsi yang seimbang, terutamanya dari segi rekaan, skrin, prestasi, kamera, dan jangka hayat bateri. Ia juga telah meninggalkan pesaing sekelasnya, melaui penyertaan teknologi yang menarik seperti sokongan aperture yang boleh diubah, pengimbas cap jari di bawah skrin, dan pengecasan SuperVOOC. Dengan harga jualan RM2699, OPPO R17 Pro membawakan sebuah pakej peranti yang premium dengan sejumlah teknologi menarik untuk dinikmati oleh pengguna.


TIPS & ULASAN