OPPO R17 Pro Dilancarkan Di Malaysia – Hadir Dengan Tri-Kamera, SuperVOOC 50W, Berharga RM2699

OPPO R17 Pro Dilancarkan Di Malaysia – Hadir Dengan Tri-Kamera, SuperVOOC 50W, Berharga RM2699

Diterbitkan pada November 22, 2018 oleh .

OPPO sebelum ini telah memperkenalkan OPPO R17 Pro untuk pasaran China dengan fokus kepada rekaan dan teknologi fotografi tri-kamera. Hari ini pada suatu lokasi di ibu negara, OPPO telah melancarkan OPPO R17 Pro ini secara rasmi untuk pasaran tempatan.

OPPO R17 Pro membawakan rekaan yang menarik, dengan menampilkan rekaan kaca 3D bersama kemasan warna cerun di bahagian belakang. Kemasan ini membawakan dua warna berbeza iaitu warna ungu dan biru dalam memberikan tampilan peranti yang lebih menarik dan elegan.

Paparannya hadir dengan saiz skrin sebesar 6.4-inci pada resolusi FHD+ dengan panel berasaskan AMOLED. Seperti OPPO F9, ia juga membawakan rekaan skrin penuh dengan takuk seumpama titisan air. Apa yang menarik, ia turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari di bahagian bawah skrin seperti yang dilihat pada OPPO R15 Pro. Anda juga masih boleh menggunakan fungsi imbasan wajah untuk proses menyahkunci peranti yang lebih pantas.

OPPO R17 Pro turut dijana dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 710 bersama memori 8GB RAM. Storannya hadir dengan kapasiti 128GB berasaskan UFS 2.1, dalam memberi kepantasan ketika pembukaan aplikasi. Dari segi sistem, ia menampilkan ColorOS 5.2 iaitu antaramuka yang dibina berasaskan Android 8.1 Oreo.

Apa yang menjadi keunikan peranti ini, ia hadir dengan tri-kamera, dengan menampilkan sensor utama 12MP f/2.4 / f/1.5, sensor 20MP f/2.6 untuk kebolehan bokeh, dan sensor Time-of-Flight (ToF) untuk pengimejan 3D yang lebih baik. OPPO turut melengkapkan ia dengan fungsi Night Mode, yang membolehkan pengguna mengambil gambar slow-shutter tanpa tripod untuk hasilan gambar yang lebih menarik. Ia juga membawakan fungsi Portrait Lighting untuk membolehkan pengguna menikmati penggambaran seumpama di dalam studio.

Kapasiti baterinya hadir dengan 3700 mAh yang dipecahkan menjadi dua bahagian untuk menjayakan sistem pengecasan SuperVOOC 50W. OPPO R17 Pro menjadi peranti kedua dengan sistem pengececasan ini selepas OPPO Find X Lamborghini Edition, yang membolehkan peranti dicas sekitar 40% dalam masa hanya 10 minit sahaja.

Di Malaysia, OPPO R17 Pro telah disenaraikan pada harga bermula RM2699 dan boleh didapati melalui pengedar-pengedar rasmi OPPO Malaysia. Bagi anda yang berminat, anda boleh membuat pra-tempahan di Shopee dan menerima Neo Smartband yang bernilai RM389.

Baca: Pandang Pertama – OPPO R17 Pro


TIPS & ULASAN