Cari @ Amanz

OnePlus 6T
Skrin 6.41” Optic AMOLED, FHD+
Nisbah 19.5:9, 402 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 845
CPU 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz
4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz
GPU Adreno 630
Memori 6GB / 8GB RAM
Storan 128GB / 256GB UFS 2.1
Kamera Utama 16MP f/1.7 + 20MP f/1.7
Kamera Hadapan 16MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
USB-C
Sistem OxygenOS 9
Android 9.0 Pie
Bateri 3700 mAh, Dash Charge
Dimensi 157.5 x 74.8 x 8.2 mm
Berat & Ketebalan 185g, 8.2mm
Tempoh
Penggunaan
2 minggu

Trend menghasilkan model penambahbaikan sering digunakan oleh pengeluar untuk meningkatkan angka jualan peranti. Trend ini dipopularkan oleh Apple dengan pengenalan model “S” selepas setahun mereka melancarkan model utama iPhone. OnePlus turut menggunakan strategi ini menerusi perkenalan model “T”, tetapi berbeza dengan Apple, mereka menghasilkan model ini pada tahun yang sama dengan pelancaran model utama.

Pada Mei lalu, OnePlus baru sahaja memperkenalkan OnePlus 6 dengan sejumlah perubahan berbanding OnePlus 5/5T. Ia membawakan rekaan kaca, skrin penuh dengan takuk, dan cip pemprosesan berkuasa Snapdragon 845. Beberapa kekurangan telah dikenal pasti pada peranti ini, seperti rekaan takuk yang sedikit besar dan kapasiti bateri yang standard, jadi mereka atasinya melalui perkenalan OnePlus 6T.

OnePlus 6T membawakan penawaran yang hampir sama seperti OnePlus 6, terutama dari segi cip pemprosesan yang digunakan – Qualcomm Snapdragon 845. Namun ia menyajikan 3 perubahan baru, seperti rekaan skrin, pengimbas cap jari, dan bateri untuk menambahbaik pengalaman penggunaan peranti OnePlus ini. Bukan itu sahaja, peranti ini juga membawa satu “pengorbanan” yang perlu dihadapi pengguna, yang mana kami akan ceritakan di dalam ulasan ini.

Rekaan

Sebagai permulaan, OnePlus 6T didatangkan dengan spesifikasi tinggi seperti kehadiran skrin 6.41-inci Optic AMOLED, cip Snapdragon 845, pilihan memori 6GB / 8GB RAM, dan dua pilihan storan iaitu 128GB atau 256GB. Ia juga menawarkan beberapa sambungan standard seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri berkapasiti 3700 mAh.

Dari segi rekaannya, ia menawarkan rekaan kaca di bahagian bahagian belakang, dengan bingkai berasaskan logam pada bahagian sisi. Namun malangnya, ia masih tidak disertakan dengan pengecasan tanpa wayar dan pengesahan IP secara rasmi untuk sokongan kalis air. Rekaan belakangnya masih menyerupai seperti OnePlus 6 sebelum ini, cuma fungsi pengimbas cap jarinya telah ditempatkan pada bahagian bawah skrin.

Prestasi pengimbas cap jari ini tidaklah sepantas pengimbas cap jari biasa, namun saya boleh kata, ia antara yang terpantas untuk sistem pengimbas cap jari di bawah skrin ini. Anda boleh mengubah animasi pada pengimbas cap jari ini, dengan tiga pilihan corak yang boleh dipilih oleh pengguna. Anda juga masih boleh menggunakan fungsi imbasan wajah, yang mana dapat membuka peranti dengan lebih pantas.

OnePlus masih menawarkan fungsi “silent switch” pada bahagian kanan peranti, dengan membolehkan pengguna menukar dari mod “Ring”, “Vibrate”, dan ke “Silent” secara fizikal. Pembesar suaranya terletak di bahagian bawah, namun tidak didatangkan dengan sokongan stereo seperti kebanyakan peranti flagship yang lain.

Tetapi pengorbanan yang perlu dihadapi pengguna, OnePlus 6T kini tidak lagi menawarkan sambungan bicu audio. Perkara ini sekaligus memerlukan pengguna bergantung kepada dongle USB-C ke 3.5mm untuk penyambungan aksesori audio. Seperti peranti OnePlus sebelum ini, ia tidak didatangkan dengan slot mikroSD, namun masih membawakan slot dwi-sim pada bahagian kiri peranti.

OnePlus 6T turut membawa rekaan takuk yang lebih kecil, seperti yang dilihat pada OPPO R17 Pro dan OPPO F9. Rekaan takuk yang lebih kecil ini bukan sahaja kurang memberi gangguan malah memberi saiz paparan yang lebih luas. Jika anda tidak menyukai dengan rekaan takuk ini, anda masih boleh menyorokkannya melalui perletakkan bar berwarna hitam.

OnePlus masih mengekalkan panel Optic AMOLED pada 6T ini, yang dilihat dapat memberi kualiti paparan yang sangat terang. Warna paparannya kelihatan cerah dan menariknya, ia memberi sejumlah mod paparan yang boleh ditukar mengikut keselesaan pengguna. Anda diberi pilihan untuk menggunakan mod paparan “Default”, “sRGB”, “DCI-P3”, “Adaptive mode”, dan “Custom Color”.

OnePlus 6T telah ditawarkan dalam tiga pilihan variasi di Malaysia iaitu 6GB RAM + 128GB (RM2588), 8GB RAM + 128GB (RM2888), dan 8GB RAM + 256GB (RM3188). Walaupun tidak menawarkan slot kad mikroSD, storan permulaan sebesar 128GB dilihat mencukupi untuk majoriti pengguna. Tetapi sekiranya anda gemar membuat rakaman 4K, anda dinasihatkan untuk mengambil storan yang tertinggi iaitu 256GB. Dari segi warna, OnePlus 6T untuk Malaysia telah ditawarkan dalam dua pilihan warna sahaja iaitu Midnight Black dan Mirror Black yang mana boleh dipilih sewaktu pembelian peranti.

Sistem

Dari segi antaramuka, OnePlus 6T dijana dengan OxygenOS 9, yang dibina berasaskan sistem operasi Android 9.0 Pie. Ia hadir dengan antaramuka yang hampir ke arah Android asli tetapi dengan sedikit pengubahsuai. Paparan utamanya masih mempunyai talam aplikasi seperti Pixel Launcher, namun ia menyajikan rekaan ikon tersendiri bersama paparan Shelf untuk hub informasi.

Apa yang menarik pada OxygenOS 9, ia menyajikan banyak fungsi menarik untuk memberi pilihan kustomasi yang pelbagai kepada pengguna. Antaranya, anda boleh mengubah navigasi standard kepada navigasi berasaskan gesture, untuk membolehkan anda menuju ke aplikasi lain dan paparan utama dengan mudah, seumpama yang dilihat pada peranti iPhone X. Navigasi seumpama peranti Google Pixel juga turut hadir, yang membolehkan anda menggunakan butang di bawah untuk menuju ke aplikasi lain dengan lebih pantas.

OxygenOS turut membawa fungsi Reading Mode, dengan menukar warna skrin menjadi hitam dan putih untuk memberi keselesaan pada mata ketika membaca. Fungsi Gaming Mode pula dapat meningkatkan lagi prestasi dan menyorokkan notifikasi ketika memainkan permainan. Dengan penggunaan skrin Optic AMOLED, ia juga hadir dengan fungsi Ambient Display, dengan kebolehan menukar kepada empat rekaan jam yang berlainan. Anda juga boleh mengubah warna tema kepada hitam, dengan tampilan yang lebih elegan disamping mampu menjimatkan lagi penggunaan bateri.

Prestasi

Dari sudut prestasi, OnePlus 6T dijana dengan cip yang sama digunakan pada kesemua peranti berspesifikasi tinggi tahun ini, melalui penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 845. Ia membawakan cip lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz + 4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 630. Cip ini merupakan cip yang terpantas untuk siri Snapdragon tahun ini, dengan membolehkan anda memainkan sejumlah permainan terkini seperti pada tetapan grafik tertinggi.

Dengan penggunaan memori 6GB / 8GB RAM, ia memberi pengalaman pertukaran aplikasi yang cukup lancar tanpa perlu menunggu untuk aplikasi bersedia semula. Dengan penggunaan storan UFS 2.1, aplikasi dapat dibuka dengan sangat pantas selain mampu mengurangkan masa menunggu ketika membuka permainan. Haba yang dikeluarkan juga tidak terlalu panas, dengan memberi rasa sedikit suam apabila memainkan permainan intensif sekitar 30 minit.

Kamera

Dari segi keupayaan kamera, OnePlus 6T membawakan sistem dwi-kamera, dengan menawarkan sensor utama 16MP (f/1.7, 25mm, 1/2.6″, 1.22µm) bersama sensor kedua 20MP (f/1.7) untuk membantu penggambaran malam. Ia juga menyajikan sistem penstabilan optikal (OIS) pada sensor 16MP, bersama sistem penstabilan elektronik (EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran. Untuk bantuan penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan dwi-tona warna.

Untuk hasilannya, saya cukup kagum dengan prestasi HDR peranti ini, dengan hasil penggambaran yang terang walaupun digunakan pada lokasi berlatarbelakangkan cahaya. Warna yang dipersembahkan juga kelihatan hampir ke arah semula jadi tanpa sebarang penaikkan konstras yang agresif. Untuk penggamaran malam, ia masih terdapat kesan hingar (noise), namun ia mudah memberi gambar yang terang atas penggunaan aperture sebesar f/1.7.

Aplikasi kameranya masih mendatangkan kebolehan 2 x zoom, walaupun sensor kedua tidak lagi membawakan keupayaan zoom optikal. Untuk membolehkan fungsi zoom ini, OnePlus 6T menggunakan teknik menaikkan resolusi dan ketajaman gambar secara digital. Walaupun tidak menampilkan sensor zoom khas, hasilnya kelihatan sangat baik dengan keperincian imej yang tajam.

Tetapi yang menarik sekali, ia kini telah menyertakan fungsi Nightscape, untuk penghasilan gambar malam yang lebih terang. Fungsi ini menyerupai dengan teknik Night Mode daripada Huawei P20 Pro, dengan membolehkan pengguna mengambil gambar shutter perlahan tanpa memerlukan sebarang tripod. Hasilnya, ia memberi gambar yang mengagumkan, namun terdapat kesan ketajaman yang agresif apabila diteliti.

Kamera hadapannya juga dapat memberi hasil swafoto yang tajam, namun kontras warnanya telah dinaikkan bagi memberi hasilan yang lebih menarik. Warna kulit juga turut dicerahkan walaupun fungsi Beautify telah dimatikan. Untuk menjadikan swafoto anda lebih menarik, anda juga boleh menggunakan fungsi Portrait Mode pada kamera hadapan ini, dengan hasilan kesan kabur di belakang wajah.

Dari segi rakaman video, hasilannya juga kelihatan sangat baik dengan keperincian rakaman yang cukup tinggi. Ia menyokong rakaman sehingga resolusi 4K@60fps dan menariknya, fungsi penstabilan imej OIS masih diaktifkan untuk resolusi ini. Rakamannya kelihatan stabil dan memberi hasilan yang terang walaupun digunakan ketika situasi pencahayaan yang rendah.

Bateri

Untuk ketahanan bateri, OnePlus 6T telah menawarkan peningkatan berbanding OnePlus 6, iaitu dengan kapasiti 3700 mAh berbanding 3300 mAh pada sebelum ini. Kapasiti ini juga telah mengalahkan Xiaomi Mi 8 (3400 mAh) namun sedikit tewas kepada Pocophone F1 (4000 mAh). Dengan penggunaan cip 10nm melalui Snapdragon 845 dan kapasiti bateri sebesar ini, ia dijangka dapat memberi penggunaan sepanjang hari dengan masa nyalaan skrin (screen-on-time) yang lama.

Dengan kapasiti 3700 mAh dan padanan cip 10nm ini, OnePlus 6T mampu mencatatkan masa nyalaan skrin yang sangat baik, melalui bacaan sekitar 6 jam 47 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Bacaan ini dilihat sangat baik, kerana ia mampu memberi ketahanan melebihi 4 jam — iaitu suatu bacaan standard untuk peranti moden hari ini. Ia juga dilengkapi dengan fungsi pengecasan pantas Dash Charge, yang membolehkan bateri peranti ini dicas dari 0 – 100% dalam masa hanya 1 jam 28 minit.

Rumusan

OnePlus 6T hadir dengan penawaran yang baik pada asasnya untuk bersaing dengan sejumlah peranti berkuasa pada hari ini. Ia mempunyai ciri-ciri peranti premium yang selalunya dijual pada harga yang lebih tinggi. Namun jika anda penggemar peranti OnePlus 6 dan ke bawah atau anda sering menggunakan peranti berkuasa yang lebih mahal, peranti ini mungkin terdapat sedikit kompromi dari segi fungsi.

Untuk penggemar peranti OnePlus, 6T tidak lagi didatangkan dengan bicu audio, sekaligus memerlukan anda bergantung kepada penggunaan dongle atau beralih aksesori audio berasaskan Bluetooth. Jika anda penggemar peranti berkuasa, ia juga tidak menawarkan sejumlah fungsi yang hadir pada kebanyakan peranti berkuasa hari ini, seperti slot mikroSD, pengecasan tanpa wayar, dan pengesahan IP67 atau 68 untuk sokongan kalis air.

Pro
  • Hadir dengan fungsi “Silent Switch” untuk mengakses mod senyap secara fizikal
  • Hadir dengan paparan Optic AMOLED yang terang
  • Imbasan wajah mempunyai prestasi yang pantas
  • Menyokong penstabilan imej OIS walaupun menggunakan resolusi setinggi 4K@30fps
  • Menyokong pengecasan pantas Dash Charge
Kontra
  • Tiada bicu audio 3.5mm
  • Tiada pembesar suara stereo
  • Tiada slot kad mikroSD
  • Tidak dinyatakan pengesahan IP secara rasmi untuk perlindungan habuk dan air
  • Tiada lampu LED untuk notifikasi.
  • Tiada sokongan pengecasan nir-wayar.
  • Penggunaan cap jari pada skrin yang kadang-kala tidak begitu jitu berbanding penggunaan versi fizikal.
  • Ketahanan bateri yang sepatutnya boleh lebih baik lagi.
  • Latar masa pengeluaran OnePlus yang tidak masuk akal, membuatkan pembeli yang membeli variasi tanpa “T” kadang-kala rasa tertipu apabila variasi versi “T” dikeluarkan.

Tetapi sekiranya dinilai dari segi rekaan, skrin, prestasi, kamera, dan jangka hayat bateri, kesemua aspek ini dapat digalas pada OnePlus 6T dengan jayanya. Ia kelihatan menawan, mempunyai prestasi yang pantas, selain hadir dengan kemampuan kamera yang terang. Ia juga mampu memberi ketahanan bateri yang lama disamping dapat dicas dengan singkat melalui sokongan Dash Charge yang dibekalkan.

Dengan harga bermula RM2588, ia sebuah peranti berkuasa yang baik, walaupun harganya tidak lagi berada di tahap peranti bajet. Ia baik kerana ia seimbang dan mampu memberi pengalaman penggunaan yang menyeronokkan. Sekiranya anda mencari peranti berkuasa di bawah RM3000, dengan tampilan antaramuka yang menyerupai Android asli dalam satu pakej peranti premium, OnePlus 6T adalah sebuah peranti yang sangat mudah untuk disyorkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd