Bitcoin ialah kriptowang yang mempunyai nilai tertinggi diantara semua kriptowang yang ada di pasaran sekarang. Kebanyakan syarikat-syarikat pelombong kriptowang yang dibuka satu ke dua tahun yang lalu kebanyakannya melombong Bitcoin sebagai kriptowang pilihan mereka.
Naik dan jatuh nilai Bitcoin ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana kebiasaannya walaupun ia melihat kejatuhan yang mendadak, ia sentiasa akan meningkat dan mendatangkan keuntungan buat mereka yang melombongnya untuk jangkamasa yang panjang.
Akan tetapi, nampaknya semua itu berakhir untuk sejumlah besar pelombong Bitcoin, kerana nilai Bitcoin baru-baru ini melihat kejatuhan nilai yang sangat teruk sehinggakan beberapa kilang melombong Bitcoin terpaksa ditutup kerana nilai kriptowang tersebut kini berada di tahap yang tidak mampan.
Nilai Bitcoin yang pada tahap tertingginya mempunyai tanda harga $19,783 untuk satu Bitcoin kini telah menjunam kepada $4030 pada waktu laporan ini ditulis.
Ini menyebabkan syarikat-syarikat ini tidak boleh membayar sewa dan bil kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan kesemua pelombong-pelombong kriptowang mereka, dan apa yang menarik mengenai ini ialah kebanyakan syarikat-syarikat ini berasal dari China dimana kos penggunaan tenaga elektrik dikatakan diantara yang terendah di dunia.
Walaupun begitu, menurut laporan Independent, mangsa kejatuhan harga Bitcoin yang paling teruk ialah Giga Watt dari Amerika Syarikat yang terpaksa memfailkan muflis kerana gagal membayar hutang sebanyak $7.0 juta.
Buat masa ini, pakar kriptowang masih berbelah bagi mengenai nilai turun naik harga Bitcoin ini, dan buat masa ini, kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai larangan penggunaan Bitcoin mungkin ada pangkal logiknya.