Tabiat harian kami ialah hanya menggunakan Internet selular apabila di luar rumah dan pejabat. Setibanya kami ke dua lokasi ini, telefon pintar akan secara automatik menggunakan Internet WiFi kerana secara kebiasaan ia lebih pantas. Menurut data terkini yang dikongsi oleh OpenSignal, di 33 negara (41% dari 80 negara yang dikumpul data oleh mereka) kelajuan Internet selular kini lebih pantas berbanding WiFi.
Di Australia misalnya kelajuan Internet selular purata ialah 34.6 MBps berbanding 21.6 Mbps WiFi Internet berwayar. Trend yang sama turut dilihat di Lebanon, Qatar, Oman, Greece, Republik Czech dan Myanmar. Di kesemua negara di atas, kelajuan 4G jauh lebih pantas dan digunakan dengan lebih meluas.
Trend ini walau bagaimanapun tidak berlaku di Malaysia dan Singapura. Di negara kita kelajuan purata WiFi ialah 15 Mbps dan kelajuan purata Internet selular ialah 10,4 Mbps. Singapura yang mempunyai antara kelajuan Internet tertinggi dunia 72.8 Mbps lebih pantas berbanding kelajuan purata Internet selular iaitu 38.8 Mbps.
Dengan pengenalan rangkaian 5G kelak, kelajuan Internet selular diramalkan akan terus memecut ke hadapan dengan kelajuan di antara 490 Mbps dan 1.5 Gbps dengan masa pendam (latency) yang lebih rendah berbanding 4G. Kerajaan Malaysia sudah membuka langkah awal dengan membuka panggilan menyertai ujian rangkaian 5G tahun hadapan. Mungkin di masa hadapan tiada lagi masalah “apa kata laluan WiFi” akan diungkap apabila saudara datang melawat rumah anda.