Makmal Angkasa Lepas InSight Berjaya Mendarat Di Permukaan Marikh Bagi Mengkaji Asal Usul Planet

Makmal Angkasa Lepas InSight Berjaya Mendarat Di Permukaan Marikh Bagi Mengkaji Asal Usul Planet

Diterbitkan pada November 27, 2018 oleh .

Marikh ialah planet yang paling hampir kepada bumi yang dipercayai sesuai untuk menjadi koloni manusia. Planet merah ini mempunyai kitaran hari hampir sama dengan bumi (24 jam 39 minit 35 saat= 1 Sol), mempunyai suhu waktu siang yang tidak melampau serta penemuan air pada permukaannya. Sebelum misi manusia ke Marikh dilancarkan, planet ini perlu dikaji sepenuhnya bagi keselamatan krew pertama.

Pagi ini makmal angkasa lepas InSight telah berjaya melakukan pendarat di Marikh selepas mengembara selama 205 hari bagi melengkapi perjalanan sejauh 484,773,006 km. Ia mendarat pada kawasan Elysium Planitia yang terletak berhampiran garisan Khatulistiwa Marikh. InSight ialah kapal angkasa jenis lander yang akan menggerudi permukaan Marikh sedalam 5 meter bagi melihat haba yang dilepaskan bagi mengetahui sama ada planet ini menjalani proses pembentukan yang sama seperti bumi. Sejarah geologi Marikh dapat diketahui dengan lebih baik selepas ini.

Fungsi sekunder InSight ialah memerhati aktiviti gempa pada planet. Menerusi gelombang gempa, saintis boleh mengetahui tentang lapisan serta teras Marikh. Komposisi lapisan Marikh juga bole h diketahui dengan mengkaji kelajuan bunyi. Saintis masih tidak mengetahui berapa kerap aktiviti gempa berlaku pada planet ini.

Tidak seperti misi Curiosity sebelum ini, InSight tidak boleh bergerak dari lokasi pendaratan. Ia akan kekal untuk mengumpul data sepanjang misi selama dua tahun.

Walaupun InSight sudah berjaya mendarat, pusat kawalan misi di NASA masih belum menghela nafas lega. Fasa seterusnya ialah membuka panel solar bagi membekalkan kuasa. Ini akan hanya diketahui dalam masa beberapa jam apabila isyarat telemetri yang dihantar tiba ke bumi.


TIPS & ULASAN