Skim Pemeteran Tenaga Bersih Akan Diperkenalkan Pada 1 Januari Bagi Menggalakkan Penggunaan Panel Solar

Skim Pemeteran Tenaga Bersih Akan Diperkenalkan Pada 1 Januari Bagi Menggalakkan Penggunaan Panel Solar

Diterbitkan pada November 27, 2018 oleh .

Penggunaan elektrik di Malaya bermula pada tahun 1894 apabila sistem janakuasa elektrik digunakan di lombong yang terletak di Rawang. Loke Yew dan Thamboosamy Pillai adalah pelopor penggunaan pam air elektrik di New Tin Mine Company Rawang pada tahun tersebut. Lampu jalan elektrik pertama Malaya juga bermula di Rawang pada tahun yang sama. Pada tahun 1895, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur ialah bangunan pertama di Kuala Lumpur yang mempunyai bekalan kuasa elektrik. Sejak lebih seabad, majoriti kuasa elektrik di Malaysia masih dijana menggunakan bahan api fosil.

Sesuai dengan peredaran zaman. kerajaan Malaysia mula menyedari potensi kuasa solar bagi menjana keperluan elektrik negara. Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mengumumkan bermula 1 Januari 2019, skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) akan diperkenalkan kepada pelanggan Tenaga Nasional Berhad di Semenanjung Malaysia.

Menerusi NEM, pemilik panel solar di Malaysia akan hanya dikenakan bil TNB berdasarkan kuasa bersih (net energy) yang digunakan. Sebelum ini mereka menjual tenaga elektrik yang dijana kepada TNB pada kadar 31 sen/kWh. Dengan NEM kerajaan berharap penggunaan panel solar akan semakin meningkat kerana bukan sahaja memberikan penjimatan kepada pengguna tetapi mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil.

Yeo Bee Yin juga berharap polisi-polisi baru yang diperkenalkan menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) akan menggalakkan industri panel solar Malaysia seterusnya membolehkan mereka menawarkan kepakaran ke seluruh ASEAN.


TIPS & ULASAN