Carian
Maybank Memulakan Penggantian Penggunaan SMS TAC Kepada Secure2u
November 27, 2018 Aman

Perkembangan digital kini membuatkan pelbagai perkhidmatan perbankan terus menambah-baik penawaran mereka, dan pada masa yang sama mengemaskini sokongan sekuriti dan sebagainya. Terkini, Maybank telah mengumumkan yang mana mereka akan mula menggantikan penggunaan SMS TAC kepada penggunaan Secure2u secara berperingkat kepada sejumlah perkhidmatan mereka bermula bulan Disember ini.

Maybank2u Secure2U

Seperti umum sedia maklum, penggunaan pengesahan transaksi menggunakan SMS TAC telah diimplementasi untuk sekian lama. Walaubagaimanapun, salah satu kekurangannya adalah masalah perkhidmatan telekomunikasi sering membuatkan SMS TAC berkenaan tiba lewat, atau tidak tiba ke peranti pengguna – sekaligus menyukarkan transaksi dilakukan.

Untuk tujuan berkenaan, Maybank telah hadir dengan Secure2u yang mana menggunakan aplikasi Maybank tersebut sendiri untuk mengesahkan transaksi. Secure2u dihubungkan dengan satu peranti pada sesuatu masa, dan anda perlu mengesahkan dan memberi respon untuk sesuatu transaksi dalam tempoh 30 saat – dimana ia diperlihatkan melalui notifikasi apabila melakukan transaksi. Selain daripada itu, aplikasi Maybank2u pada peranti mudah-alih anda juga boleh menjana pin enam digit untuk digunakan bagi sesuatu transaksi.

Langkah ini dilihat lebih selamat berbanding penggunaan SMS TAC, selain pada masa yang sama memudahkan pengguna.

Dengan pengenalan ciri ini, kini Maybank mengumumkan yang mana mereka akan menggunakan Secure2U sebagai ganti untuk SMS TAC secara berperingkat.

Maybank2U Secure2U

Bermula 1 Disember 2018 ini, perkhidmatan pembayaran bil melangkaui RM1,000 akan menggunakan Secure2u dan tidak lagi SMS TAC. Perkara sama akan dilakukan untuk pelbagai perkhidmatan perbankan lain secara berperingkat, sehinggalah pada Mac 2019 kelak yang akan memerlukan penggunaan Secure2U untuk perbankan interbank GIRO (IBG).

Selain Maybank, kita juga mungkin melihat beberapa bank lain melakukan perkara sama secara berperingkat – selari dengan peraturan Bank Negara Malaysia yang baru.

https://twitter.com/MyMaybank/status/1065576925576474624

Komen