Satelit merupakan salah satu alat pemancar yang berfungsi untuk melakukan pelbagai perkara, antaranya merakamkan gambar topografi muka bumi, menghantarkan maklumat GPS untuk kegunaan navigasi baik di darat mahupun di laut, dan pelbagai lagi. Dan pada acara AWS re:Invent hari ini, bagi memudahkan operasi syarikat yang memiliki satelit dan juga pembangun yang memanfaatkan data dari satelit, AWS mengumumkan perkhidmatan terbaru mereka iaitu AWS Ground Station.
Sebagai syarikat atau pembangun yang bergantung kepada satelit, penghantaran data dari satelit ke pusat pemancar yang terdapat di muka bumi kadangkala mengambil masa tertentu. Ini berikutan faktor tersebut adalah tertakluk kepada posisi pusat pemancar dan orbit satelit, dan juga kekerapan penghantaran data. Kesemua ini mempengaruhi kos operasi syarikat satelit dan jika lebih banyak data yang diperlukan untuk menjalankan operasi yang kritikal, ia membuatkan operasi tersebut menjadi lebih mahal.
Perkhidmatan AWS Ground Station ini membolehkan pembangun atau pemilik syarikat satelit melakukan operasi mereka sama seperti perkhidmatan AWS yang lain. Memandangkan AWS sendiri telah mempunyai pusat data di beberapa benua, perkhidmatan AWS Ground Station ini adalah berasaskan konsep Ground as a Service dimana maklumat-maklumat yang ingin dimuat-turun dari satelit boleh dilakukan dengan lebih pantas pada bila-bila masa pengguna memerlukannya.
Jika sebelum ini Digital Globe, salah satu syarikat yang menggunakan perkhidmatan AWS perlu menunggu AWS Snowmobile untuk melakukan penghantaran data, kini mereka boleh melakukan penghantaran data secara terus menerusi perkhidmatan awan. Mereka juga turut berkongsi yang mana dengan pertambahan kawasan liputan pemancar yang diuruskan oleh AWS, lebih banyak kawasan dapat diliputi satelit mereka.
Jika sekarang mereka melakukan penghantaran data dari satelit sebanyak 25 kali, pada tahun hadapan mereka menyasarkan sehingga 50 kali penghantaran data sehari, membolehkan maklumat lebih cepat diterima.
Antara manfaat lain dengan perkhidmatan AWS Ground Station adalah setiap penghantaran data-data kritikal dan penting dari satelit dapat diperoleh dengan lebih pantas, lebih murah, dan boleh diakses oleh pembangun tanpa memerlukan kos yang lebih tinggi. Lebih dari itu, data ini juga boleh digunakan dengan perkhidmatan AWS yang lain sekaligus memungkinkan teknologi awan yang baru pada masa akan datang.