Carian
Huawei Dan Edotco Menandatangani MOU Teknologi Small Cells Untuk Meningkatkan Isyarat Selular Dalam Bangunan
November 29, 2018 Effi Saharudin

Isyarat selular di dalam bangunan secara lazimnya adalah lebih lemah di dalam bangunan berbanding di luar. Kewujudan dinding dan pelbagai halangan fizikal yang lain menyebabkan masalah tiada isyarat di dalam tandas misalnya sudah menjadi masalah biasa. Untuk itu teknologi Small Cells telah dibangunkan. Hari ini Huawei Technologies dan Edotco menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama untuk menggunakan teknologi ini di Malaysia.

Sejak Mei tahun ini Huawei dan Edotco telah melakukan ujian sistem Small Cells ini di Stesen KL Sentral. Pada waktu ini ia disokong oleh rangkaian selular Celcom, Digi, U Mobile dan Maxis sekaligus menjadikan Malaysia negara pertama dunia yang menyokong sistem multi-rangkaian dengan sokongan multi-teknologi ini.

Tidak seperti sistem selular dalam bangunan yang digunakan sebelum ini. Sistem Small Cells adalah digital sepenuhnya. Menurut Huawei ia lebih murah untuk diselenggara dan juga bersedia untuk rangkaian 5G di Malaysia kelak.

Dalam demo yang diperlihatkan pagi tadi, sistem ini berjaya meningkatkan kelajuan Internet selular dalam bangunan Celcom, Digi, U Mobile dan Maxis sehingga 10 kali ganda berbanding sistem sedia ada.

Sistem ini masih lagi dalam proses ujian dan akan diteruskan lagi selama empat bulan bagi memastikan ia benar-benar sedia digunakan oleh semua. Pihak Edotco bercadang memperkenalkan sistem ini ke beberapa lagi bangunan di Malaysia yang mempunyai jumlah pengguna yang ramai sehingga mengakibatkan kesesakan rangkaian.

Komen