Komputer riba dan desktop memerlukan lohong udara untuk sistem penyejukan. Sebagai pengguna PC, adalah sudah menjadi kebuasan bagi kami membersihkan komponen kipas penyejuk dan penapis debu pada komputer setahun sekali. Ini akan memberikan pengudaraan yang baik sekaligus menyejukkan sistem. Di Amerika Syarikat, Apple telah disaman kerana didapati tidak menyertakan sistem penapis debu pada MacBook dan iMac.
Ini menyebabkan lama kelamaan komponen dalam dua komputer mereka ini dipenuhi debu sehingga mengakibatkan prestasi berkurangan atau kerosakan berlaku. Debu yang disedut masuk juga boleh menyelinap di antara lapisan skrin sehingga merosakkan paparan. Saman difailkan oleh firma guaman Hagens Berman bagi pihak pengguna iMac, iMac Pro, MacBook Pro, MacBook,dan MacBook Air.
Menurut Hagens Berman, kegagalan Apple menyertakan sistem penapis ini mengakibatkan pengguna terpaksa menanggung kos baik pulih sehingga $600 semata-mata untuk membersihkan debu. Ini sepatutnya tidak berlaku kerana Apple terkenal dengan rekaan peranti yang baik dan premium berbanding pengeluar lain.
Saman yang difailkan ingin memaksa Apple membayar ganti rugi kepada pengguna yang telah membaiki komputer menggunakan wang sendiri, menjual komputer kerana masalah ini dan pengiklanan yang tidak benar. Apple masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai saman yang difailkan.