Carian
Ulasan: OnePlus Type-C Bullets – Sepasang Fon Telinga Hebat, Tetapi Terasa Murah
November 29, 2018 Fahim Zahar

OnePlus dan aksesori-aksesori audio tidak lagi asing. Dari set fon telinga JBL E1+, OnePlus Silver Bullet, OnePlus Icon, OnePlus Bullets v2, OnePlus Bullets Wireless dan yang terkini adalah OnePlus Type-C Bullets. OnePlus juga dulu pernah berkongsi di mana mereka turut pernah berhasrat untuk fokus dalam arena audio dengan menghasilkan pembesar suara mereka tersendiri, namun itu hanya sekadar impian yang tidak kesampaian.

Artikel hari ini adalah satu ulasan penuh, mengenai set fon telinga OnePlus Type-C Bullets atau turut dikenali sebagai OnePlus Bullets 2T. Bullets 2T ini diperkenalkan selepas OnePlus 6T diumumkan tidak akan mempunyai sebarang port bicu audio 3.5mm. OnePlus turut mengatakan, Bullets 2T ini mempunyai DAC dan sambungan melalui USB-C akan memberi pengalaman pendengaran muzik yang mengasyikkan berbanding Bullets v2 yang sebelumnya.

OnePlus Type-C Bullets/OnePlus Bullets 2T
Warna Hitam
Unit Driver Dinamik
DAC/ADC Terbina Support 96KHz/24Bit HD audio
Panjang Kabel 1.15M
Jenis In-Ear
Sambungan Wayar, USB-C
Kuasa 3mW
Bahan Binaan Coil: Copper-clad aluminum
Wire Core: Enamelled copper wire
Diaphragm: Aryphan Polyarylate
Berat 14g
Pembantu Maya Ya
Alat Kawalan Ya
Mikrofon Ya
Harga Rasmi: Tiada, Import: RM99-RM119

Rekaan

Dari pembungkusan sehinggalah set fon telinga itu sendiri ia sangat mirip dengan Bullets v2. Membezakannya adalah warna bahagian driver audio itu dan juga pada penghujung wayar yang kini adalah USB-C. Bahan binaan juga masih lagi sama iaitu wayar kuprum yang disalut dengan kemasan seakan silikon/plastik. Wayarnya adalah 1.15m dan direka dengan bentuk yang leper bagi memudahkan Bullets 2T ini digulung dan disimpan – tetapi sebenarnya tidak, saya akan terangkan lanjut di perenggan yang seterusnya.

Jika dilihat sekali imbas, Bullets 2T ini kelihatan sedikit premium. Ini mungkin kerana warnanya yang serba hitam. Getah earbuds pula adalah lebih tebal berbanding Bullets v2. Bahagian alat kawalan masih lagi kekal, dibina dari bahan plastik dan butang-butangnya pula adalah taktil dan sedap ditekan.

Kualiti Audio

Ia adalah sepasang set fon telinga yang bagi saya wajib semua miliki. Bukannya saya seorang peminat produk OnePlus, tetapi dalam banyak-banyak set fon telinga yang telah saya cuba – Bullets 2T ini mengejutkan saya. Malah saya berani beritahu anda semua yang mana, Bullets 2T ini lebih baik dari Mi In-Ear Headphones Pro.

Dari segi bass, clarity, treble, pemisahan – semuanya bagi saya lengkap. Sebaik sahaja kedua-dua bahagian masuk ke telinga saya dan saya mainkan muzik dari Spotify, saya terus berada dalam dunia saya sendiri. Ia tidak mempunyai sebarang pembatakan bunyi hingar, tetapi pemisahan bunyi hingarnya adalah baik.

Ia juga selesa digunakan dan tidak mudah tertanggal. Getah pada earbuds Bullets 2T agak berkualiti. Dengan trend filem Bohemian Rhapsody, saya cuba mainkan lagu lagenda Queen ini kerana ia mempunyai kesan menarik dari segi penyimbangan audio kiri, kanan dan tengah. Hasilnya mengagumkan dan mengasyikkan.

Kekurangan

Tidak semua di dunia ini sempurna. Begitu jugalah dengan Bullets 2T ini. Walaupun kualiti audionya baik, bahan binaannya tidak memuaskan. OnePlus kononnya menggunakan rekaan wayar leper untuk mengelak wayar set fon telinga ini dari tersimpul. Kemudian rekaan ini juga sepatutnya adalah mudah disimpan. Tetapi, apa yang berlaku pada saya – set fon telinga ini mudah tersimpul dan menjengkelkan untuk kembalikan kepada bentuk asal.

Jika dibanding dengan set rasmi Malaysia OnePlus Bullets v2, harga Bullets 2T sepatutnya sama – iaitu Rm149. Untuk set fon telinga yang mencecah lebih dari RM100 dengan bahan binaan yang murah  – ia tidak berbaloi. Ini boleh menjadikan jangka hayat set fon telinga ini tidak tahan lama. Tetapi, jika anda beli di Shopee sepasang set import – pada harga bawah RM100 ia mungkin berbaloi.

Untuk pengguna OnePlus 3/3T/5/5T/6, Bullets 2T hanya boleh digunakan dengan jika anda mengatifkan OTG. Jika tidak, ia tidak akan mengesan apa-apa sambungan dan tidak boleh digunakan. Untuk OnePlusn 6T, disebabkan ia tidak mempunyai port bicu audio – ia boleh digunakan secara terus.

Kesimpulan

Kualiti audio yang baik, rekaan yang kelihatan premium dipadankan pula dengan pengalaman audio yang mengasyikkan – sebenarnya ia berbaloi dimiliki jika anda tidak hairan dengan bahan binaannya. Ingat lagi dengan Bullets Wireless? Saya ada tulis artikel pandang pertama sebelum ini – ya audionya baik, set fon telinga nirwayar yang memfokuskan sukan yang baik dan juga harga yang semi-premium. Ia tidak mahal dan tidak murah. Jika dibandingkan dengan Bullets 2T, kualiti audio Bullets 2T adalah lebih baik. Ia lebih sedap didengar dan diri boleh menjadi tenang apabila mendengar muzik yang digemari.

Jadi, selepas beberapa minggu menggunakannya – berikut adalah skor saya serta pendapat saya mengenai pro dan kontranya.

PRO KONTRA
  • Pengalaman pendengaran yang baik.
  • DAC terbina yang membantu memberi kualiti audio yang baik.
  • Sambungan USB-C yang memudahkan.
  • Peranti OnePlus sebelum OnePlus 6T perlu mengaktifkan OTG.
  • Bahan binaan yang murah.
  • Mudah tersimpul.

Komen