Cari @ Amanz

Honor 8X
Skrin 6.5” IPS LCD, FHD+, 19.5:9
Chipset HiSilicon Kirin 710
CPU 4 x Cortex-A73 2.2 GHz
4 x Cortex-A53 1.7 GHz
GPU Mali-G51 MP4
Memori 4GB RAM
Storan 128GB eMMC 5.1 + mikroSD
Kamera Utama 20MP f/1.8 + 2MP
Kamera Hadapan 16MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n
Bluetooth 4.2
A-GPS, GLONASS
Mikro-USB
Sistem EMUI 8.2
Android 8.1 Oreo
Bateri 3750 mAh, pengecasan 10W
Dimensi 160.4 x 76.6 x 7.8 mm
Berat & Ketebalan 175g, 7.8mm
Tempoh
Penggunaan
1 bulan

Segmen peranti kelas pertengahan dilihat semakin menarik dari tahun ke tahun. Ia sering dipertingkatkan dengan spesifikasi lebih berkuasa dan rekaan lebih menarik bagi memenuhi permintaan pengguna. Ia juga seimbang dari segi penawaran fungsi dan harga, membuatkan ramai yang berminat untuk mendapatkan sebuah peranti dari segmen kelas pertengahan ini.

Pada tahun lalu, Honor 7X telah memeriahkan segmen peranti ini dengan sejumlah penawaran yang menarik. Ia hadir dengan skrin penuh, cip kelas pertengahan Kirin 659, dan penggunaan memori 4GB RAM. Ia juga menyertakan sokongan dwi-kamera, fungsi imbasan wajah, dan kapasiti bateri 3340 mAh pada harga peranti RM1099.

Kini pada tahun 2018, Honor telah menyajikan Honor 8X yang kini membawa peningkatan besar berbanding 7X. Ia mempunyai rekaan yang lebih premium, skrin lebih besar, dan mempunyai fungsi penggambaran seumpama siri Huawei P. Bukan itu sahaja, ia juga menyertakan cip pemprosesan yang hampir dua kali ganda lebih pantas, storan dalaman yang lebih luas, bersama kapasiti bateri yang lebih besar.

Apa yang menarik lagi, kesemua peningkatan besar yang hadir tidak meningkatkan harga jualan Honor 8X berbanding model sebelum ini. Malah, Honor 8X dijual pada harga lebih berpatutan yang mungkin diasak oleh segmen peranti yang cukup kompetitif. Di Malaysia, Honor 8X telah diumumkan harga rasminya pada RM949 berbanding Honor 7X yang dijual pada harga RM1099 sewaktu ia dilancarkan.

Rekaan

Sebelum kita bercakap mengenai rekaannya, peranti ini didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin 6.5-inci Full HD+ dengan nisbah 19.5:9, cip HiSilicon Kirin 710, memori 4GB RAM, dan storan dalaman 128GB bersama sokongan kad mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan asas seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n, Bluetooth 4.2, bersama kapasiti bateri 3750 mAh.

Walaupun harga jualan Honor 8X lebih rendah berbanding Honor 7X, peranti ini membawa peningkatan drastik dari segi tampilan dan binaan. Ia kini kelihatan jauh lebih anggun melalui binaan kaca di bahagian belakang peranti. Binaan ini dibina dengan 15 lapisan kaca bagi membolehkan kesan cahaya unik dihasilkan apabila melihat peranti ini dari perspektif berbeza. Ia juga kini menampilkan jalur di bahagian kamera bagi memberi tampilan dwi-tona warna menarik pada bahagian belakang ini. Dari segi pilihan warna, Honor 8X ini menawarkan sebanyak tiga pilihan warna mererusi warna hitam, merah, dan biru.

Dari segi kedudukan butang, ia membawakan butang kuasa bersama butang pembesar suara yang terletak di bahagian kanan peranti. Slot dwi-simnya ditempatkan pada bahagian kiri peranti yang membolehkan kad mikroSD diletakkan pada slot yang berasingan. Ia juga menyajikan bicu audio 3.5mm dan pembesar suara mono pada bahagian bawah, namun masih mengekalkan sambungan berasaskan mikro-USB. Seperti Honor 7X, ia juga tidak menyajikan sebarang fungsi IR blaster pada bahagian atas peranti.

Bergerak ke bahagian hadapan, ia membawakan paparan IPS LCD sebesar 6.5-inci, dengan resolusi skrin Full HD+ pada nisbah 19.5:9. Skrin ini dilihat sangat besar di dunia sebenar yang mana saiznya hampir menyerupai iPhone XS Max. Ia menyajikan rekaan takuk pada bahagian atas, bagi perletakkan sensor, kamera hadapan, dan saluran pendengaran. Rekaan takuk ini boleh disorokkan melalui halaman settings dengan perletakkan bar berwarna hitam. Bercakap mengenai kualiti paparannya, ia memberi perwarnaan yang menyerlah selain mempunyai darjah pandangan skrin yang cukup baik.

Untuk perlindungan sekuriti, Honor 8X menyajikan dua perlindugnan biometrik menerusi imbasan jari dan pengecaman wajah. Kadar imbasan jarinya terasa sangat pantas, yang mana berpadanan dengan pengimbas cap jari pada peranti Honor yang lebih mahal. Begitu juga dengan fungsi imbasan wajahnya, ia kelihatan sangat lancar apabila digunakan pada lokasi yang cerah. Cuma apabila berada di lokasi yang gelap, fungsi imbasan wajah ini bertindak sedikit lambat dengan memerlukan peranti menaikkan keterangan skrin untuk menggunakannya.

Dari segi variasi, Honor 8X telah ditawarkan dalam satu variasi sahaja di Malaysia buat masa ini menerusi memori 4GB RAM dan storan dalaman 128GB. Penawaran ini telah membuatkan Honor 8X sebagai peranti 128GB termurah yang anda boleh dapat pada tahun ini. Sekiranya storan yang besar ini masih tidak memadai untuk anda, anda masih boleh meningkatkannya melalui perletakkan kad mikroSD sehingga 400GB.

Sistem

Honor 8X membawakan antaramuka yang sama digunakan pada peranti Huawei terkini, menerusi EMUI 8.2 yang dibina berasaskan Android 8.1 Oreo. Antaramukanya kini kelihatan lebih kemas berbanding sebelumnya, dengan penyertaan sejumlah elemen yang lebih minimalis. Ikonografinya masih kelihatan ceria, yang mana boleh diubah melalui fungsi pertukaran tema terbina.

Paparan utamanya masih membolehkan pengguna menukar kepada dua paparan berbeza. Anda boleh mengaktifkan paparan dengan talam aplikasi untuk memudahkan perletakkan kesemua aplikasi yang telah dipasang. Atau anda boleh mengekalkan paparan utama standard, dengan perletakkan kesemua aplikasi seperti yang dilihat pada peranti iOS. Apabila anda menyeret jari anda dari kiri ke kanan paparan ini, ia akan memaparkan Hi-Board untuk paparan informasi yang berkaitan dengan anda. 

Beberapa fungsi menarik yang lain pada EMUI 8.2 masih disajikan pada Honor 8X ini. Antara fungsi kesukaan saya ialah Game Suite yang membolehkan aplikasi meningkatkan kelajuan dan membantu untuk menyorokkan notifikasi ketika memainkan permainan. Sekiranya rakan anda menggunakan peranti Honor, anda boleh mengaktifkan fungsi Party Mode untuk membolehkan peranti yang dihubung memainkan lagu yang sama secara serentak. Bagi pengguna motosikal, Honor turut menyajikan fungsi Ride Mode untuk mengaktifkan sistem menjawab panggilan dan SMS automatik ketika menunggang kenderaan ini.

Prestasi

Honor 8X menggunakan cip yang sama digunakan pada Huawei nova 3i, menerusi penggunaan cip HiSilicon Kirin 710. Ia membawakan cip lapan teras dengan dua kluster berbeza, menerusi 4 x Cortex-A73 2.2 GHz untuk kegunaan berkuasa, dan 4 x Cortex-A53 1.7 GHz untuk kegunaan biasa secara efisien. Ia juga menampilkan GPU empat-teras Mali-G51 MP4, yang dilihat mampu memberi prestasi yang baik untuk permainan melalui padanan teknologi GPU Turbo. Apabila diuji pada aplikasi penanda aras, cip ini mempunyai prestasi yang setara seperti cip pesaingnya iaitu Snapdragon 660 dan MediaTek Helio P60. 

Ketika diuji di dunia sebenar, cip ini dapat memberi prestasi harian dengan lancar, terutama ketika menggunakan aplikasi media sosial, aplikasi permesejan, dan pelayar web. Ia tidak menunjukkan sebarang isu lengah masa ketika menggunakan aplikasi-aplikasi ini disamping dapat membuka aplikasi dengan cukup cukup pantas. Ia juga mampu memainkan permainan terkini seperti PUBG Mobile dengan lancar, dengan menetapkan grafik “Smooth” pada tetapan kadar bingkai (frame rate) “High”. Cuma untuk habanya, ia mudah memberi haba yang sedikit suam walaupun berada pada awal sesi permainan.

Kamera

Untuk keupayaan kamera, Honor 8X membawakan peningkatan berbanding Honor 7X, melalui padanan sensor utama 20MP f/1.8 dan sensor kedua 2MP untuk hasilan bokeh. Ia turut menyertakan sistem penstabilan imej berasaskan AI (AIS) bagi membolehkan peranti ini mengambil gambar slow shutter tanpa penggunaan tripod. Ia juga dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna untuk membantu penggambaran malam.

Dari segi hasil penggambarannya, ia kini menghasilkan gambar yang lebih terang berbanding 7X melalui penggunaan aperture yang lebih besar. Warnanya kelihatan sangat menawan dan memberi kontras warna yang sangat baik untuk penggambaran harian. Keperincian imejnya juga dilihat lebih tajam dan mampu mengurangkan kesan hingar (noise) pada lokasi pencahayaan yang rendah.

Cuma untuk fungsi Night Mode, gambarnya kelihatan sangat tidak sekata dari segi perwarnaan dan keperincian imej. Warnanya sering kelihatan pudar dan terdapat kesan keperincian imej yang dinaikkan secara agresif. Kesan hingar juga mudah kelihatan apabila menggunakan mod ini. Untuk menikmati penggambaran malam yang lebih sempurna, anda dinasihatkan untuk terus menggunakan mod penggambaran biasa.

Untuk keupayaan kamera hadapan pula, ia telah dipertingkatkan kepada sensor 16MP f/2.0 berbanding Honor 7X yang hanya menampilkan sensor 8MP f/2.0. Kualiti dari kamera hadapan ini kelihatan sederhana kerana ia memberi warna yang juga tidak begitu tepat. Warna kulit terlalu dicerahkan walaupun fungsi Beautify telah dimatikan. Tetapi dari segi fungsi Portrait Mode, ia dilihat telah menerima penambahbaikan yang kini mampu menghasilkan kesan kabur yang lebih kemas. 

Dari segi fungsi, Honor 8X hanya menawarkan rakaman video setinggi 1080p@60fps tanpa sebarang mod rakaman 4K. Agak sedikit mengecewakan, ia tidak menampilkan sebarang penstabilan imej sewaktu rakaman video, jadi hasilannya mudah kelihatan bergegar. Namun ia menyajikan pelbagai fungsi menarik pada aplikasi kamera ini, seperti AR lens dengan membolehkan anda melekatkan animasi menarik pada wajah. Fungsi Pro Mode juga turut tersedia, dengan menyajikan sejumlah kawalan manual seperti pertukaran ISO, shutter speed, EV, fokus, dan white balance.

Bateri

Dari segi ketahanan bateri, ia mempunyai kapasiti bateri yang lebih besar berbanding Honor 7X (3340 mAh), melalui kapasiti bateri 3750 mAh. Kapasiti bateri ini berpadanan dengan pesaingnya seperti Realme 2 Pro (3500 mAh) namun sedikit tewas kepada Xiaomi Redmi Note 6 Pro (4000 mAh). Dengan binaan 12nm pada cip Kirin 710 ini, ia dilihat mampu memberi masa penggunaan peranti yang panjang menerusi binaan cip yang efisien. 

Dengan kapasiti 3750 mAh dan padanan cip 12nm ini, Honor 8X mampu mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang sangat baik, melalui bacaan SoT sekitar 7 jam 13 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Namun peranti ini tidak menyokong fungsi pengecasan pantas, dengan hanya bergantung pada pengecas 10W yang didatangkan. Melalui pengecas 10W, peranti ini dapat dicas sekitar 2 jam 26 minit dari kapasiti bateri 0 hingga 100%.

Rumusan

Honor 8X menawarkan pakej yang cukup bernilai untuk harganya apabila dilihat segi rekaan dan spesifikasi yang didatangkan. Ia menyertakan storan 128GB, cip pemprosesan kelas pertengahan, dan binaan kaca untuk memberi penampakan peranti yang lebih menawan. Bukan itu sahaja, ia turut menyajikan skrin dan kapasiti bateri yang besar bagi memenuhi keperluan intensif anda seperti kegunaan permainan.

Walau bagaimanapun, peranti ini masih terdapat kelemahan apabila dibandingkan dengan peranti sekelasnya. Ia tidak mempunyai sambungan USB-C, keupayaan kamera hadapan yang kurang memuaskan, selain tidak menampilkan penstabilan imej sewaktu rakaman video. Ia juga tidak membawakan sokongan WiFi dual-band untuk kebolehan mengakses saluran WiFi yang lebih pantas disamping hanya menyokong pengecasan 10W sahaja.

Pro
  • Hadir dengan binaan yang sangat menarik melalui tampilan kaca 15 lapisan.
  • Skrin sebesar 6.5-inci dapat memberi paparan yang besar dan luas.
  • Kualiti skrin yang yang baik untuk kegunaan harian melalui panel IPS LCD dan resolusi Full HD+.
  • Mempunyai sokongan imbasan jari dan pengecaman wajah yang pantas.
  • Dijana dengan cip Kirin 710 untuk kegunaan harian dan permainan yang lancar.
  • Membawakan keupayaan kamera belakang yang dipertingkatkan berbanding model sebelumnya.
  • Memberi ketahanan bateri sepanjang hari dengan bacaan SoT 7 jam 13 minit.
  • Hadir dengan slot dwi-sim bersama slot kad mikroSD secara berasingan.
  • Peranti dengan storan 128GB termurah di pasaran.
Kontra
  • Masih menggunakan sambungan mikro-USB berbanding USB-C.
  • Keupayaan kamera hadapan yang kurang memuaskan.
  • Tiada sebarang penstabilan imej sewaktu rakaman video.
  • Hanya menyokong WiFi 802.11 b/g/n (tidak menyokong WiFi ac).
  • Tiada sokongan pengecasan pantas.

Tetapi apabila menilai dari rekaan, prestasi, dan jangka hayat bateri, peranti ini sememangnya dapat menggalas kesemua aspek ini tanpa sebarang kompromi. Ia mempunyai rekaan kaca yang menawan, prestasi yang lancar, bersama ketahanan bateri yang lama untuk kegunaan harian. Dengan harga jualan yang berpatutan, ia sangat disyorkan kepada pengguna yang mementingkan aspek rekaan, prestasi, kamera utama, dan jangka hayat bateri pada sebuah peranti yang tidak melebihi harga RM1000.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd