Apple sebelum ini telah hadir dengan fon telinga nirwayar mereka tersendiri, dinamakan AirPods. Malah, sejak diperkenalkan, ia turut diperkatakan sebagai salah satu aksesori keluaran Apple yang popular.
Terkini, Ming-Chi Kuo yang sedia popular dengan pelbagai analisa dan ramalan berkaitan Apple, berkongsi beberapa perkara mengenai AirPods.
Mengikut ramalan beliau, Apple dijangka memperkenalkan kemaskini untuk AirPods menjelang 2019 kelak. Ia dijangka menawarkan sedikit penaik-tarafan, selain dikatakan akan menyertakan sokongan pengecasan nirwayar – yang mana mungkin disertakan pada bekas fon telinga berkenaan.
Selain daripada itu, beliau turut meramalkan yang mana Apple akan hadir dengan rekaan AirPods baru pada 2020 kelak. Namun, apakah ciri-ciri dan rekabentuk berkaitan dengannya tidak dikongsikan buat masa ini.
Dengan populariti fon telinga nirwayar yang semakin meningkat, tidak mustahil kita melihat jualan AirPods terus meningkat naik dari hari ke hari – malah Kuo menyasarkan ia mungkin melangkaui 100 juta unit terjual menjelang 2021 kelak.