Terdapat jutaan muzik boleh distrim menerusi Spotify tetapi sekiranya anda peminat lagu Melayu anda pasti menyedari pilihan muzik yang ditawarkan sedikit rompong. Banyak album pemuzik Malaysia seperti Canggung Mendonan (M Nasir) serta Realiti (NICO) tidak ditawarkan sepenuhnya dan ini sedikit mengecewakan. Kadang kala di rumah kami terpaksa mendengar MP3 lagu yang kami proses sendiri daripada cakera padat yang pernah dibeli.
Di masa hadapan masalah ini mungkin akan dapat diselesaikan dengan mengimport naik muzik peribadi ke storan Spotify menerusi peranti Android. Fungsi ini sedang diuji Spotify dan ditemui oleh Jane Wong yang kerap kali meniriskan kemampuan baharu sebelum diperkenalkan. Selain fungsi mengimport muzik peribadi, antaramuka muzik yang disukai dan senarai main muzik yang paling kerap dimainkan juga diuji. Akhir sekali ialah fungsi Saved For Later yang membolehkan pengguna menyimpan podcast untuk didengari kemudian.